Hakikatnya perubahan kuasa pada 9 Mei 2018 itu berlaku bukan atas faktor lain termasuk 1MDB, GST mahu pun susuk bekas Presiden UMNO itu sendiri pun.

Turun ke padang pra-PRU14, menyelami hati rakyat ketika itu hanyalah mahukan sesuatu yang baharu dan mereka tidak kisah pun dengan risiko daripada usaha-usaha untuk mencuba perkara baharu itu.

Rakyat sebenarnya tidak selesa apabila hanya satu parti mendominasi kerusi kerajaan sekian lama, lantaran merasakan pemimpinnya cukup selesa ketika rakyat sentiasa terdedah dengan pelbagai kemungkinan dan risiko ekonomi serta sosial.

Justeru, pada mereka, tiada mana-mana pihak termasuk satu parti yang sedia berjasa kepada mereka, patut menjadi begitu selesa dan terhindar daripada sebarang kemungkinan ketika pengundi kerajaan dan rakyat sendiri terpaksa bergelut dengan pelbagai cabaran setiap hari.

Lantaran itu, mengapa perubahan perlu berlaku pada PRU-14, tidak PRU sebelumnya?

Tidak adil untuk menganggap perubahan sebesar itu hanya boleh berlaku dalam satu PRU sahaja.

Nilailah juga prestasi dan keputusan-keputusan PRU sebelum itu juga atau lebih tepat semenjak PRU-10 pada tahun 1999. Protes dan rasa meluat rakyat kepada UMNO sebenarnya bermula ketika itu lagi dengan kemelut ekonomi 1997/1998 dan krisis politik dalaman yang melanda, cuma sedikit terubat pada PRU-11 (2004) apabila pemimpin utama UMNO ketika itu meletak jawatan dan dikhabarkan bakal diganti oleh tokoh yang lebih baik dan bersih daripada pemimpin sedia ada. Ia satu perubahan kecil. Apa yang jelas, penolakan terhadap UMNO/BN sebenarnya bermula pada 1999 lagi, cuma faktor-faktor sampingan seperti personaliti tokoh/pemimpin, janji populis tertentu dan seumpamanya yang melambatkan proses peralihan kerajaan.

Disebabkan itu, secara peribadi saya merasakan Datuk Seri Najib Tun Razak, 1MDB, GST dan Felda itu hanya kambing hitam bagi mewajar serta mempercepatkan pencapaian matlamat untuk mengubah sebuah kerajaan.

Sasaran majoriti rakyat ketika itu telah jelas iaitu perubahan kerajaan pasti akan berlaku.

Isu-isu yang dimainkan itu hanya untuk mengekalkan momentum sahaja sementara menunggu PRU seterusnya mengambil tempat.

Jika ukuran dibuat berasaskan fakta dan logik akal yang rasional, rakyat pra-PRU-14 sebenarnya sedia boleh menilai betapa mengarutnya cadangan, hujah dan pelan oleh Pakatan Harapan (PH) ketika itu, serta betapa lemahnya tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap Najib.

Bayangkan, apa logiknya menjanjikan pelbagai kesenangan kepada rakyat ketika dalam ceramah yang sama tokoh PH sendiri juga yang memberi amaran bahawa Malaysia sedang menghampiri status muflis?

Apa logiknya untuk mendakwa bekas Perdana Menteri sebagai menyalahgunakan kuasa ketika tokoh-tokoh pegawai awam yang sudah tentu tidak pandai bermain politik dan didakwa menjadi mangsa politik Najib seperti Tan Sri Abu Kassim Mohammad (bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM); Tan Sri Zeti Aziz (bekas Gabenor BNM); Tan Sri Abdul Ghani Patail (bekas Peguam Negara) dan beberapa lagi, pun tidak pernah menyuarakan tuduhan sedemikan daripada mulut mereka sendiri, walau pembangkang ketika itu sedia `membela’ mereka?

Akhirnya, bukan salah untuk rakyat memilih perubahan kerana itu adalah hak mereka yang dijamin Perlembagaan.

Bukan salah juga dari segi politiknya untuk pembangkang ketika itu, iaitu PH melemparkan pelbagai tohmahan dan fitnah demi kemenangan politik kerana itulah rencahnya politik walau ia diakui tidak bermoral.

Apa yang salah hanyalah apabila orang dalam parti sendiri yang menikam ketuanya dari belakang untuk mencapai matlamat peribadi!

Pengemis Soh

Bangsar, Kuala Lumpur