Laporan tersebut berdasarkan pandangan Ketua Angkatan Muda Kedah, Mohammed Firdaus Johari yang menyeru kerajaan memainkan peranan penting dalam memberi penerangan mengenai apa-apa yang telah dilaksanakan untuk kepentingan rakyat.

Pakatan Harapan (PH) sekarang adalah kerajaan semasa. Sejauh pengetahuan saya, sebarang perkara bagi menyampaikan penerangan berkaitan dengan apa yang telah, sedang dan akan dibuat kerajaan adalah menerusi agensi-agensi tertentu dalam bidang penerangan dan penyiaran yang diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Berdasarkan sedikit pengetahuan, fungsi utama kementerian itu adalah untuk menyampaikan maklumat rasmi kerajaan seperti dasar-dasar utama, program dan projek untuk rakyat supaya mereka lebih faham.

Oleh demikian, kementerian mempunyai beberapa agensi dalam pelbagai jenis medium penyampaian maklumat seperti komunikasi bersemuka, udara, cetak dan filem.

Antara agensi-agensi utama yang terletak di bawah kawalan kementerian itu adalah Jabatan Penerangan, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Bagi menemui kumpulan tersebut, difahamkan semua medium yang mempunyai tenaga kerja profesional dalam bidang masing-masing dari segi teknik penyampaian sesuai dengan jenis kumpulan sasar.

Mereka adalah terlatih sama ada dalam bidang pengucapan awam, perhubungan awam, penyiaran dan kewartawanan. Mereka aset kepada kerajaan, justeru manfaatkan sahaja.

Selain sebagai agensi penyampai maklumat atau jurucakap rasmi kerajaan, pada masa sama didapati kementerian itu juga bertanggungjawab dalam pemantauan penggunaan multimedia dari segi penguatkuasaan undang-undang.

Saya ingin cadangkan agar kementerian ini diberi nama semula sebagai Kementerian Penerangan, Penyiaran dan Perfileman sebagaimana sebelum ini dan tidak lagi terlibat dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan internet.

Tugas pemantauan serta penguatkuasaan undang-undang mengenai internet serahkan kepada kementerian lain seperti kementerian yang memegang portfolio berkaitan telekom dan sebagainya.

SALLEH SAAD

Kedah