Kemenangan Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), mengundang keghairahan untuk mengesahkan ICERD sebagai janji pilihan raya khususnya kepada orang bukan Melayu.

Merujuk kepada artikel yang ditulis bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad baru-baru ini, antara kandungan ICERD adalah menyifatkan keistimewaan kepada sesuatu kumpulan berdasarkan kaum adalah diskriminasi.

Ini bermakna jika ICERD diratifikasikan, kerajaan hendaklah berusaha menghapuskan diskriminasi antara etnik dengan segera termasuk meminda, membatal dan memansuhkan undang-undang yang mengekalkan diskriminasi kaum. Dalam kata lain, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan perlu dimansuhkan dan segala dasar yang mengutamakan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, mestilah dihentikan.

Bagi saya pengesahan konvensyen ini adalah satu malapetaka kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak apabila segala keistimewaan yang mereka terima akan dihapuskan. Sebenarnya, segala hujah dangkal yang diberikan bagi menyokong ICERD adalah satu helah untuk memansuhkan Perkara 153.

Orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, perlu sedar bahawa penyokong ICERD sengaja tidak berterus-terang bagi mengelakkan bantahan daripada pihak-pihak yang menyokong Perkara 153 dikekalkan. Pihak yang menyokong pemansuhan Perkara 153 hanya mempunyai satu matlamat iaitu untuk mewujudkan masyarakat yang sama rata.

Oleh itu, marilah kita menolak ICERD bagi memastikan Perkara 153 terus dikekalkan. Kandungan Perkara 153 adalah termasuk mewujudkan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam untuk bumiputera.

DR. ZULKEFLEE YAACOB

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)