Secara umumnya, dasar penswastaan ini bermaksud pemindahan perkhidmatan pelaburan atau kepentingan kerajaan sama ada yang sedia ada atau baharu untuk dikendalikan oleh sektor swasta.

Bagi saya, pelaksanaan dasar penswastaan ini dalam jangka masa panjang akan membebankan lagi rakyat.

Justeru, apakah formula yang diguna pakai kedua-dua ADUN ini apabila menyatakan projek-projek kerajaan negeri diswastakan, ia akan mengurangkan kos perbelanjaan? Walhal jika sudah dilaksanakan dasar penswastaan ini, secara tidak langsung kosnya akan terus meningkat sekali gus akan membebankan rakyat. Jadi, di mana rasionalnya?

Misalnya, apabila projek perumahan Johor diuruskan oleh pihak swasta, secara tidak langsung akan memberi impak kepada kuasa beli pengguna. Adakah dengan penswastaan projek rumah Johor ini akan menurunkan lagi harga rumah?

Malah, dasar penswastaan ini akan melibatkan politik dalaman antara orang yang berkepentingan dengan projek-projek kerajaan negeri yang telah diswastakan. Selain itu, konsep tender terbuka juga terjejas apabila sesuatu projek dimonopoli oleh orang tertentu disebabkan faktor politik.

Matlamat utama mereka sudah tentu ingin mencari keuntungan semata-mata berbanding memberikan yang terbaik buat rakyat. Maka, rakyat akan terbeban dari segi kewangan akibat daripada sesetengah pihak swasta yang mahukan keuntungan sahaja sekali gus mengetepikan masalah rakyat berpendapatan rendah.

Seharusnya, kedua-dua ADUN ini mengkaji dahulu kesesuaian penswastaan ke atas projek-projek yang melibatkan hak rakyat.

DHIA HANI
Persatuan Pemikir Muda Johor