Apa yang berlaku di Bukit Jenalik, Sauk bukan kisah biasa-biasa. Dari atas bukit itu sekumpulan lelaki mempersiapkan diri mereka sebagai ‘tentera’ untuk mengangkat senjata masing-masing bagi melancarkan perang ke atas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan menggulingkan kerajaan ketika itu.

Lebih dramatik, ratusan senjata mereka datangnya dari hasil rompakan pada pagi 2 Julai 2000 di dua kem tentera di Gerik. Parameter sekitarnya bertukar umpama medan perang apabila dipenuhi dengan pasukan keselamatan.

Perancangan militan Al-Maunah yang diketuai oleh Mohamed Amin Mohamed Razali tidak menjadi kenyataan apabila beliau ‘tumbang’ di tangan Leftenan Jeneral Datuk Seri Zaini Mohd. Said.

Drama selama empat hari yang mendebarkan akhirnya selesai dengan jayanya tetapi turut tersulam hiba kedukaan apabila dua anggota keselamatan terkorban. Takziah buat keluarga mendiang R. Sanghadevan dan Truper Matthews anak Medan.

Insan yang berani menggadaikan nyawanya pada waktu itu untuk ‘memusnahkan’ misi Al-Maunah di atas Bukit Jenalik berkongsi pengalaman peristiwa tersebut bersama warga kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), baru-baru ini.

Zaini yang telah bersara mengakui bahawa detik hitam itu memberi kesan besar pada negara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), keluarga tebusan yang terkorban dan dirinya sendiri.

Beliau yang ketika itu merupakan Panglima Medan Tentera Darat tidak menafikan imej ATM tercalar dan kemampuan mereka dipertikaikan.

Peristiwa itu menjadi satu wake up call yang kuat kepada pihak keselamatan bahawa militan ini sentiasa menunggu masa sesuai untuk memunculkan diri.

Bagi mengelakkan peristiwa Al-Maunah berulang, siap-siaga pasukan keselamatan telah dipertingkatkan, tindakan pencegahan awal pantas diambil dan ruang-ruang kecil kelekaan dan rasa terlalu selesa dengan keamanan dielakkan.

Banyak yang dikongsikan beliau selain kisah Al-Maunah atas pengalaman selama 36 tahun dalam ATM antaranya semasa konflik konfrontasi Malaysia dan Indonesia.

Semua kisahnya mencetus inspirasi dan punya nilai pengajaran yang kuat. Pada satu ketika nadanya menjadi sayu dan hiba apabila membenam nasihat pada generasi muda untuk menjadi warganegara yang tanggungjawab.

Berilah sumbangan kepada negara dalam kemampuan masing-masing walaupun kecil. Sesungguhnya, keberadaan para petugas keselamatan perlu sentiasa dihargai dan diraikan bukannya diperlekehkan.

Atas pengorbanan mereka, kita mampu tidur lena saban malam dan menjalani rutin hidup dengan bahagia apabila bangun keesokan harinya.

Terima kasih perwira negara!

MOHD. ZAINI OTHMAN

Pegawai tadbir USIM