Dr. Mahathir dilaporkan berkata, pada waktu ini kerajaan perlu memberi tumpuan untuk membayar hutang yang tinggi dan semua pihak diminta bersabar.

Katanya, jika kerajaan berjaya menyelesaikan hutang berkenaan, pendapatan negara juga akan dapat dipertingkatkan dan akan memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) ingin menzahirkan rasa terkilan apabila sekali lagi penjawat awam dijadikan sasaran untuk terus berkorban dan ‘ikat perut’ dengan alasan masalah kewangan negara sebagai punca kerajaan membayar hutang yang tinggi.

Sebelum ini pada awal 2019, perkara sama berlaku apabila kerajaan mengeluarkan satu pekeliling bertajuk Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam yang bertujuan mengurangkan perjawatan di kementerian dan agensi kerajaan sebanyak 1% secara keseluruhan tahun ini.

Pihak kami menganggarkan kira-kira seramai 16,000 penjawat awam akan hilang sumber pendapatan dengan pelaksanaan pekeliling berkenaan jika angka 1.6 juta adalah jumlah sebenar keseluruhan penjawat awam di Malaysia.

Dewan Pemuda Ikatan juga sangat terkilan dengan pelbagai lantikan politik yang dibuat di kementerian, agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat milik kerajaan (GLC).

Seolah-olah penjawat awam yang sekian lama berkhidmat untuk negara tidak dipedulikan, tetapi sahabat-sahabat mereka di dalam parti politik, termasuk ahli keluarga diberi peluang pekerjaan baharu walhal ada yang sudah bergelar Yang Berhormat, tetapi masih mahu mengemudi agensi kerajaan sebagai pengerusi atau ahli lembaga pengarah.

Adakah sebenarnya peluang pekerjaan yang disebut di dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Pakatan Harapan (PH) itu ditujukan kepada sahabat-sahabat dan ahli keluarga mereka dalam parti masing-masing?

Pada masa sama, ketika hutang negara yang banyak dijadikan sebagai alasan penjawat awam perlu ‘ikat perut’, kerajaan PH bersikap tidak sensitif apabila mengumumkan projek tidak mendatangkan manfaat kepada majoriti rakyat.

Pada saat gesaan ‘ikat perut’, kita lihat gaji ahli Parlimen dan menteri masih lagi tinggi jika dibandingkan dengan penjawat awam. Adakah tindakan kerajaan itu adil kepada penjawat awam dan rakyat?

Oleh itu, Dewan Pemuda Ikatan menggesa kerajaan untuk memperhalusi keputusan ini kerana rakyat sebenarnya makin dihimpit kegawatan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup.

Kurangkan lantikan politik dan biar penjawat awam yang berwibawa melakukan tugas mereka. Harus diingat, penjawat awam adalah tunjang kepada pentadbiran negara.

Ahli politik datang dan pergi, tetapi mereka tetap komited menguruskan pentadbiran kerajaan.

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Ikatan