Kalau ada yang mempersoalkan pandangan-pandangan mereka, ‘pakar-pakar’ itu akan memberitahu itu semua berdasarkan pengalaman. Macam pandai pula menggariskan segala tip seperti bagaimana untuk berjaya, menjadi cepat kaya dan sebagainya.

Jika tulisannya itu disukai ramai, maka tularlah dengan pelbagai ciptaan hashtag sekali gus menjadi trend ikutan follower mereka. Kalau dibelek latar belakang pemilik akaun laman sosial tersebut, tidak pula dia itu seorang profesor atau lulusan bidang tertentu seperti apa yang diulasnya.

Dalam hal ini, Cekmek Molek bukan ingin mempertikaikan ‘kegilaan’ berkenaan tetapi yang menjadi isu­nya, kadang-kadang perkara yang dikongsi tidak boleh diguna pakai kerana bertentangan dengan adat masyarakat selain menyalahi ajaran agama.

Mengambil contoh satu isu yang menjadi trend baru-baru ini berkaitan hal rumah tangga iaitu menggalakkan para wanita dalam kalangan isteri supaya ‘jangan guna duit suami’. Ia semata-mata mahu membuktikan bahawa wanita boleh ‘hidup’ tanpa pemberian nafkah suami.

Memang benar tidak salah untuk menunjukkan bahawa golongan wanita ini mampu berdikari terutama mereka yang bekerjaya, boleh mencari duit sendiri tanpa mengharapkan ihsan lelaki. Tidak dinafikan dalam hidup berumah tangga ini perlunya ada ‘give and take’.

Tetapi janganlah sehingga menidakkan hak diri sendiri semata-mata untuk nampak moden atau up-to-date. Sikap sebegitu sebenarnya telah membuka ruang kepada suami untuk lari daripada tanggungjawabnya. Lebih-le­bih lagi kalau sejenis lelaki yang suka mengambil kesempatan atas kebaikan isteri.

Oleh itu, wahai isteri-isteri, janganlah tunjuk anda tidak cerdik. Ketahuilah apa yang sebenar-benar hak anda yang telah pun digariskan dengan jelas dalam Islam. Rasanya, banyak penceramah agama bercakap tentang kewajipan suami isteri. Kalau search sahaja di pencarian Google, berlambak video atau bahan bacaan akan keluar.

Cekmek Molek ada juga cuba mencarinya. Ada satu rakaman video ceramah agama yang disampaikan oleh pence­ramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus yang dimuat naik di Youtube. Tidak panjang pun, hanya berdurasi lima minit.

Kata beliau, ada empat nafkah wajib suami kepada isteri. Pertama ialah memberi makan dan minum kepada isteri sehingga dia kenyang sebanyak dua kali sehari.

Kedua ialah menyediakan pakaian lengkap dua kali setahun kepada isteri. Maksud pakaian di sini bukan hanya baju sahaja, tetapi kesemuanya dari hujung rambut hingga hujung kaki. Dari tudung, baju, kain, stokin, kasut sehinggalah pakaian dalam.

Nafkah ketiga pula kata Ustaz Azhar, menyediakan tempat tinggal yang selesa buat isterinya. Tidak kiralah sama ada rumah itu rumah sewa atau buruk sekali pun. Asalkan mudah bagi isteri untuk membuka auratnya dan tidak dilihat oleh orang luar.

Nafkah wajib yang terakhir ialah ‘merawat’ isteri jika dia sakit iaitu membawa ke hospital selain membeli ubat-ubatan untuk kesihatan isterinya.

Jadi, berdosa bagi suami jika tidak menyediakan empat perkara wajib ini untuk isteri. Sekiranya di luar kewajipan tersebut, suami tidak wajib menyediakannya. Segalanya atas budi bicara antara suami dan isteri untuk membeli keperluan atau kehendak lain.

Namun, suami kena sedar, zaman sekarang ini banyak benda yang boleh diistilahkan sebagai satu keperluan. Suami janganlah pula mahu mengelak dan menggunakan alasan benda-benda lain itu tidak wajib semata-mata tidak mahu mengeluarkan duit. Itu dah masuk bab kedekut namanya.

Bagaimanapun, Cekmek Molek tertarik dengan satu status di Facebook. Katanya: “Kalau kita isteri moden pi­lih untuk tak guna duit suami, hutang piutang kita bayar sendiri, utiliti kita bayar, belanja diri sendiri menggunakan duit sendiri, suami akan ada duit ‘berkepuk-kepuk’. Bila banyak duit, mulalah dia rasa mampu nak cari ‘madu’ untuk kita”.

Ada benar juga pandangan ini. Jadi, renung-renungkanlah para isteri sekalian.