Lebih menjelikkan, mereka menggunakan kata-kata kesat, lucah dan fitnah hanya dengan membuat komen di media-media sosial.

Perbuatan penghinaan itu bukan sahaja dilakukan oleh rakyat biasa, malah ia turut dilakukan mereka dalam kalangan pemimpin kerajaan.

Baru-baru ini, Ahli Majlis Daerah Pontian, Mohammad Kamarul Ariffin Harris Fadzillah memuat naik kenyataan memperlekeh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong, individu bernama Eric Liew yang bekerja di Cisco System telah menghamburkan kata-kata kurang ajar selain seorang pekerja di firma rundingan, PEMANDU Associates juga bersikap biadab termasuk seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Komen-komen seumpama itu tidak boleh dibiarkan tanpa dikenakan apa-apa tindakan tegas dan segera diambil supaya tidak ada lagi mana-mana pihak berani menyentuh institusi raja yang menjadi payung negara dan rakyat.

Walaupun mereka yang mengeluarkan komen negatif itu membuat permohonan maaf, perkara itu tidak boleh dijadikan asas untuk melepaskan sahaja tanpa dikenakan tindakan. Mereka perlu dihadapkan ke muka pengadilan supaya ia menjadi pengajaran kepada orang lain.

Sewajarnya tindakan biadab berbentuk penghinaan seumpama itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Mana-mana pihak yang menghamburkan penghinaan, fitnah dan biadab terhadap institusi raja atau sesiapa sahaja di negara ini tidak ada kompromi terhadap mereka.

MIQAEL FAYYADH

Terengganu