Lebih mengejutkan, usia pelaku terlalu muda dan di bawah umur. Bagaimanakah kanak-kanak itu boleh tergamak melakukan perbuatan tersebut?

Pendedahan mengatakan pelaku melakukan perbuatan tersebut akibat terpengaruh dengan video yang ditontonnya melalui telefon pintar amatlah membimbangkan. Jika dilihat pada hari ini, ramai ibu bapa membiarkan anak-anak leka dengan telefon pintar. Tanpa disedari, anak-anak boleh terdedah kepada kandungan berunsur pornografi, lebih-lebih lagi apabila tiada pemantauan oleh ibu bapa. Anak-anak yang menonton laman pornografi ini tidak semestinya secara sengaja. Ada yang secara tidak sengaja apabila pop-up keluar secara tiba-tiba.

Jelaslah, penggunaan telefon pintar dan internet tanpa kawalan ibu bapa merupakan punca kejadian seperti itu berlaku. Ibu bapalah yang harus dipersalahkan dalam hal ini.

Ibu bapa harus sedar kejadian sedemikian semakin berleluasa. Salah satu cara bagi mengatasinya agar tidak terus berulang adalah ibu bapa perlu mempertimbangkan semula penggunaan telefon pintar kepada anak-anak. Hadkan masa mereka menggunakan telefon pintar. Awasi juga laman sesawang yang dilayari oleh anak-anak. Pun begitu, adalah lebih baik jika ibu bapa dapat menyekat terus penggunaan telefon pintar dan internet kepada anak-anak yang masih muda ini.

Isi masa terluang anak-anak dengan perkara-perkara berfaedah. Luangkan masa bersama anak-anak dengan aktiviti-aktiviti fizikal seperti berenang, menunggang basikal dan bermain bola. Membawa anak-anak ke taman permainan juga adalah aktiviti yang baik.

Namun jangan pula ibu bapa tidak memerhatikan anak-anak kerana sibuk melayari internet menggunakan telefon pintar masing-masing. Ambillah peluang ini dengan beriadah bersama anak-anak dan melayan kerenah mereka yang inginkan perhatian.

Luangkanlah masa untuk anak-anak tidak kira ketika berada di dalam atau luar rumah. Meluangkan masa bersama mereka adalah sangat berharga. Jangan sesekali memberikan peranan ibu bapa kepada telefon pintar.

AZLINA JUMADI

Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Kampus Segamat