Melihat kepada reaksi rakyat, jelas terlihat bahawa mereka menginginkan pembangunan yang lebih baik di seluruh Malaysia secara sama rata, termasuklah negeri-negeri Pantai Timur di Semenanjung Malaysia.

Di Semenanjung Malaysia, sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi tertumpu di negeri-negeri Pantai Barat seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor. Sebaliknya, bagi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang mempunyai tahap persambungan dan integrasi yang rendah dengan hab-hab ekonomi ini.

Hari ini, perjalanan bas antara Kelantan dan Pulau Pinang mengambil masa lebih daripada 7 jam, manakala perjalanan bas dari Kelantan ke Kuala Lumpur pula boleh mengambil masa sehingga 9 jam. Kekangan sistem serta jarak pengangkutan ini bukan sahaja menjadi batu penghalang kepada perniagaan dan perdagangan, malah memberi kesan kepada pemikiran atau mindset mereka.

Tanpa pembangunan yang berterusan daripada kerajaan, pelaburan dan pembangunan akan terus tertumpu di negeri-negeri yang sudah pun maju, yang mana secara langsung melebarkan lagi jurang ekonomi sedia ada.

Pembangunan infrastruktur di Pantai Timur harus dirancakkan lagi. Harapan saya agar projek-projek seperti ECRL, dipertimbangkan semula pada masa akan datang kerana ia akan menjadi satu infrastruktur yang penting bagi menghubungkan Pantai Timur dan hab-hab ekonomi utama di Pantai Barat.

Koridor-koridor ekonomi seperti Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan Iskandar Malaysia, serta agensi-agensi negeri yang telah menunjukkan hasil, masing-masing mempunyai peranan dalam mempertingkatkan integrasi dan perkembangan negeri-negeri yang kurang membangun ini.

Kerja-kerja infrastruktur sahaja tidak memadai. Program-program modal insan dan keusahawanan di rantau ini juga perlu diutamakan untuk membantu penduduk tempatan terutama sekali golongan belia, supaya mereka sentiasa dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang bakal mendatang.

Saya berharap agar kerajaan akan terus melaksanakan tanggungjawabnya dalam memastikan pengagihan yang saksama bagi kesemua negeri di Malaysia, termasuklah negeri di bawah pemerintahan parti pembangkang, yang mana secara tidak langsung merapatkan jurang pendapatan dan pembangunan.

RAKYAT YANG PRIHATIN

Kuala Lumpur