Berdasarkan data Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang dikeluarkan pada 15 Februari 2018 menunjukkan hanya 612 daripada 1,000 sekolah tahfiz berdaftar dengan Jabatan Agama Islam. Bermaksud hampir 40 peratus sekolah tahfiz belum berdaftar.

Melalui peruntukan Kementerian Kewangan ini diharap membuka mata semua pemilik sekolah tahfiz untuk berusaha mendaftarkan premis masing-masing di Jabatan Agama Islam negeri dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Sehingga kini belum ada mana-mana negeri mewajibkan semua sekolah tahfiz untuk berdaftar.

Antara sebab-sebab utama pengusaha sekolah tahfiz tidak mendaftar adalah faktor bangunan. Kita sedia maklum bahawa kerajaan negeri tidak menyalurkan bantuan kewangan untuk membina bangunan sekolah tahfiz. Pembinaan bangunan adalah inisiatif pengusaha sendiri dengan bantuan kewangan daripada orang ramai.

Menurut Mujahid, peruntukan RM50 juta itu adalah untuk keselamatan sekolah, penyelenggaraan, naik taraf bangunan dan infrastruktur asas, alat bantu mengajar, perabot dan sistem pengurusan sekolah. Seterusnya kriteria sekolah yang layak menerima bantuan tersebut adalah yang menjalankan pengajian secara formal dan melaksanakan kurikulum kebangsaan, berdaftar dengan Jabatan Agama Islam negeri dan pemilik sekolah tahfiz mestilah warganegara Malaysia.

Pendidikan di sekolah tahfiz sangat istimewa yang tidak terdapat di sekolah lain. Proses membentuk peribadi mulia perlu masa yang panjang dan istiqamah.

Oleh itu sekolah tahfiz adalah pilihan terbaik. Sedar atau tidak pendidikan di sekolah tahfiz sebenarnya adalah penyumbang pasif kepada pembentukan akhlak yang baik kepada para remaja. Walaupun terdapat isu-isu negatif tentang sekolah tahfiz, namun sangat sedikit jika dibandingkan isu-isu negatif di sekolah-sekolah lain. Dengan adanya peruntukan itu diharap dapat membantu memartabatkan pendidikan tahfiz.

DR. SHAMSATUN NAHAR AHMAD
Pensyarah Kanan Matematik UiTM