Antara isu yang dekat juga di hati saya ialah khat Jawi dan masalah kewangan Utusan Malaysia yang meruncing.

Kedua-dua isu ini pernah saling berkait dengan saya terutama di era kegemilangan saya dan kluster GILKSB suatu masa dulu.

Berkenaan isu khat Jawi, saya pernah menganjurkan pertandingan Seni Jawi Nusantara kepada sekolah-sekolah menengah seluruh negara sekitar tahun 2009-2010.

Program berkenaan adalah sebahagian daripada misi mempromosikan TVET pertanian tetapi menggunkan pendekatan yang luar biasa.

Kemuncaknya pula, diadakan Agro X Race sekolah-sekolah Malaysia yang merupakan program cabaran lasak dalam kegiatan pertanian di kampus Institut Skill-Tech, milik saya ketika itu, di Durian Tunggal, Melaka.

Semasa menjayakan Agro X Race, semua arahan diberikan dalam tulisan Jawi.

Menariknya ketika itu, terdapat peserta bukan Melayu yang menyertai rakan-rakan mereka. Walaupun mereka tidak dapat membaca tulisan Jawi tersebut tetapi mereka bergantung kepada kebolehan pelajar Melayu dalam pasukan mereka untuk memahami arahan gerak kerja secara berkumpulan.

Yang penting ialah kerjasama dan perpaduan dalam kalangan pasukan tanpa sebarang pra sangka atau prejudis antara kaum, bangsa dan agama.

They enjoy the fun.

Lebih menarik lagi, secara tidak sengaja yang menyampaikan hadiah adalah Datuk Dr. Phang Chau Leong, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia ketika itu dan disiarkan dengan penuh warna keesokan harinya dalam Utusan Malaysia.

Dalam memperkasa agenda ekonomi Melayu, saya tidak melupakan tanggungjawab sosial untuk menaja program tersebut setiap tahun (selama tiga tahun) kepada Utusan Malaysia dengan jumlah yang agak besar. Belum masuk lagi kos penganjuran acara dan iklan pelbagai promosi sama ada saya sendiri atau ahli-ahli GILKSB.

Jika dicampurkan, mahu juga mencecah angka juta.

Malah, dalam satu majlis penyerahan cek penajaan, Timbalan Ketua Pengarang Utusan ketika itu, Datuk Osman Mohamed terkejut apabila majlis penyerahan replika cek disertakan serentak cek bernilai RM100,000 yang dibayar terus kepada Utusan Malaysia serta-merta (sebelum penganjuran acara).

Tidak dilupakan juga bagaimana Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka ketika itu, begitu teruja dengan program Agro X Race yang dirasmikannya setiap tahun. Pada tahun kedua, beliau datang terlalu awal daripada jadual sebenar. Kelam kabut jadinya sebab banyak persiapan masih berjalan (belum siap).

Demikianlah bagaimana institusi TVET dan golongan seperti Mr. TVET ini, menggerakkan misi negara secara serentak iaitu kemahiran pertanian dan memastikan kesinambungan warisan bangsa.

Tiada pun sebarang polemik dan prejudis antara kaum ketika itu.

Beberapa pengajaran penting dalam isu khat Jawi dan Utusan Malaysia yang kebetulan masih panas berlegas di Malaysia:

1. Apakah salahnya semua kaum mempelajari seni khat Jawi? Malah jika Mr. TVET diberi peluang belajar tulisan kaligrafi Cina dan India, apakah aktiviti ini akan mengurangkan Melayu / Islam saya?

2. Jika umat Melayu di Malaysia menghargai dan merasai kepentingan sejarah warisan bangsa, Utusan Malaysia tidak akan menjadi begitu tenat. Caranya ialah, setiap umat Melayu menyokong dalam apa juga bentuk kewangan (bukan sekadar menyokong semangat dan air liur).

3. Sebelum umat Melayu mengharapkan bangsa lain menerima khazanah warisan mereka, umat Melayu sendiri perlu membuktikan kesungguhan komitmen mereka dalam bentuk ‘consistant action oriented’.

Bagi saya, khat Jawi dan Utusan Malaysia, bukanlah semata-mata warisan Melayu tetapi khazanah bangsa Malaysia. Seni, ilmu dan sejarahnya tersimpan seribu satu pengajaran buat bangsa Malaysia untuk saling ,menghormati, bertoleransi dan menghargai satu sama lain.

Resipi inilah yang telah menstabilkan Malaysia selama ini yang bersifat unik dan tiada taranya jika dibandingkan dengan negara lain.

Namun, bibit kerapuhan ini akan melenyapkan perpaduan yang terbina sejak sekian lama dalam sekelip mata. Inilah bahayanya!

Penentu suasana rakyat adalah pemimpinnya. Jika api itu ditiupkan pemimpinnya, maka merebaklah di peringkat rakyat dengan mudah yang mungkin akan hangus terbakar sekelip mata.

Kenangan Seni Jawi Nusantara, Agro X Race bersama Utusan Malaysia yang pernah saya jayakan, adalah bukti bahawa kami PB swasta boleh memainkan peranan besar kepada pembangunan TVET dan pembinaan Bangsa Malaysia.

Persoalannya, apakah mereka yang diamanahkan menjalankan kuasa sedar kepentingan dan menilai rekod usaha kami ini dan menyokong kami supaya terus maju dan melaksanakan tanggungjawab ini?

Seperti Utusan Malaysia, saya dan GILKSB juga menerima nasib yang sama. Penguasa Melayu sendiri lebih suka melihat kami ‘bungkus’ daripada terus maju dan membangunkan bangsa sendiri.

Bukan semua tetapi ramainya begitu.

PENERAPAN NILAI MERENTASI KURIKULUM.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN NEGARA.

‘TVET FOR A BETTER LIFE’

NORDIN ABDUL MALEK

Pengerusi Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera (GILKSB)

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.