Saya setuju dengan apa yang diutarakan oleh Dr. Rohami.

Sebagai rakyat Malaysia (tidak kiralah, Malaysia Lama atau pun Malaysia Baharu), kita patut mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa kebanggaan kita.

Jangan malu akan bahasa kebangsaan kita. Kekecewaan selalu melabuh di hati saya apabila saya dapati para artis, atlet mahupun ahli politik sendiri lebih selesa menggunakan bahasa rojak atau pun bahasa Inggeris! Maaf saya katakan di sini, kebanyakan mereka ini terdiri golongan Melayu sendiri. Ini bukan teladan yang baik bagi golongan bukan Melayu.

Bagi golongan Cina pula, saya hanya boleh menggelengkan kepala apabila melihat atlet Cina mewakili Sukan SEA yang lepas tidak berkemampuan bertutur dalam bahasa kebangsaan. Ini golongan muda, bukan golongan tua yang mungkin tidak berpeluang mendapat pendidikan di sekolah!

Dalam era Malaysia Baharu ini, cara pemikiran kita mesti berubah mengikut peredaran masa.

Kita mesti cuba mencari keindahan dalam bahasa Melayu. Kita mesti tolak persepsi yakni bahasa Melayu itu bukan bahasa kita (untuk kaum bukan Melayu).

Bagi saya, bahasa Melayu itu bahasa saya juga. Mungkin ada sesetengah pihak tidak bersetuju dengan pendirian saya ini. Apa yang boleh saya katakan, “Biarkanlah...”

Saya dapati bahasa Melayu ini satu bahasa yang indah, lembut dan puitis. Bahasa ini berjaya menyampaikan isi hati saya serta perasaan saya yang kompleks ini dengan jelas sekali. Bak kata pepatah, “tak kenal maka tak cinta.’

Saya menyeru kepada semua golongan yang mengaku diri mereka sebagai rakyat Malaysia, cuba-cubalah mengenali bahasa kebangsaan kita dengan lebih dekat, nescaya kamu akan jatuh cinta dengan keindahan dan kelembutannya.

Daripada seorang yang peroleh P7 untuk subjek bahasa Malaysia di peringkat SRP pada satu ketika dahulu.

KENNETH CHEW