Prestasi merudum yang dipamerkan mencetuskan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan penyokong tegar bola sepak tempatan.

Memulakan saingan Piala Malaysia dengan langkah kiri apabila tewas kepada pasukan berstatus kelab iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (O-3), Selangor turut tewas pada aksi kedua kepada Pahang (0-2).

Kekalahan tersebut meletakkan Selangor di tangga tercorot dalam kumpulan D selepas dua perlawanan. Ia juga memberi isyarat kepada juara 33 kali ini sekiranya mereka berterusan tidak konsisten, maka mereka perlu ucap selamat tinggal lebih awal kepada piala tertua itu.

Pelbagai kata dan cacian juga timbul dalam laman sosial apabila penyokong mula meluahkan rasa tidak puas hati dengan corak permainan pasukan.

Pemain berpengalaman seolah-olah hilang arah apabila beraksi di atas padang dan pemain muda pula gugup ketika membuat hantaran dan mengejar bola tanpa taktik yang tersusun.

Pemain muda juga perlu bijak menyerap tekanan dan menimba pengalaman beraksi sebaik mungkin dalam kejohanan kali ini supaya kelak mereka tampil lebih matang.

Pasukan Selangor dilihat kekeringan idea dan lambat menutup kelompong posisi yang ditinggalkan tiga pemain Selangor (Evan Dimas, Ilham Udin dan Syahmi Safari) yang kini dipanggil menyertai skuad kebangsaan negara masing-masing dalam persiapan ke Sukan Asia 2018.

Pemain sedia ada perlu mempersiapkan mental dan fizikal dalam memantapkan serta memanfaatkan kelebihan masing-masing apabila disenaraikan.

Di kesempatan ini, saya ingin menzahirkan rasa tahniah kepada Raja Muda Selangor atas pelantikan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Baginda bukanlah orang asing dalam bola sepak Selangor malah pencetus kepada idea Football Selangor, sebuah organisasi yang menjadi platform bola sepak komuniti dan belia.

Baginda juga percaya penglibatan masyarakat adalah asas kepada pembangunan bola sepak di Selangor dan dalam negara. Harapan dalam kalangan peminat agar Red Giants dapat mencapai kejayaan.

MUHAMMAD SHAHRUL NAIM

Port Klang, Selangor