Amat menyedihkan kerana Akta Kebajikan Haiwan 2015 tidak melarang pembunuhan haiwan termasuk anjing dan kucing bagi tujuan untuk dimakan manusia. Memotong anggota anjing dan kucing hidup serta menyembelihnya adalah perbuatan kejam dan bukanlah satu budaya malah ia sesuatu yang tidak bertamadun.

Budaya dan tradisi sering digunakan sebagai alasan untuk membolehkan tingkah laku kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Perdagangan daging anjing dan kucing adalah penderaan haiwan pada skala besar dan kekejaman yang kita tidak boleh bertolak ansur. Tiada pengiktirafan jelas daging anjing dan kucing sebagai makanan sah, atau sebagai haiwan yang layak untuk dimakan manusia, mahupun pengharaman yang jelas terhadap penjualan dan penyembelihan haiwan ini.

Kaedah dan cara binatang itu dibunuh seharusnya tertakluk kepada peruntukan undang-undang kebajikan haiwan. Jika pembunuhan haiwan itu menyebabkan kesakitan yang tidak sewajarnya atau menyebabkan binatang itu tidak mati dengan segera, ia adalah kesalahan di bawah peruntukan kekejaman umum dalam akta sedia ada.

Perhatian juga mestilah diberikan kepada peningkatan kes curi haiwan peliharaan. Mereka yang memperdagangkan daging anjing dan kucing lebih menyukai haiwan peliharaan disebabkan ia mudah untuk dikendalikan berbanding anjing dan kucing liar. Ini boleh menjadi jawapan kepada kes-kes kehilangan haiwan peliharaan yang berakhir sebagai makanan.

Satu lagi persoalan yang belum terjawab, pihak berkuasa manakah yang bertanggungjawab mengeluarkan permit kepada pekerja asing untuk menjalankan perniagaan menjual daging anjing dan kucing di negara ini? Adakah terdapat sebarang persijilan daripada Jabatan Kesihatan untuk mengesahkan bahawa daging itu selamat untuk dimakan?

Agensi kerajaan manakah yang akan dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku sebarang wabak penyakit akibat pencemaran virus daripada daging ini? Anjing dan kucing mendapat tempat khusus dalam masyarakat Malaysia sebagai haiwan peliharaan dan memakan dagingnya adalah bertentangan dengan budaya rakyat negara ini.

SAHABAT ALAM MALAYSIA (SAM)
Pulau Pinang