Malaysia memulakan kempen dengan menundukkan Krygstan (3-1), dan Korea Selatan (2-1) sebelum tumpas 2-3 kepada Bahrain dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Namun Malaysia layak ke peringkat seterusnya sebelum ditewaskan 0-1 oleh Jepun.

Jika diikutkan rekod, skuad muda negara bermula dengan baik apabila menjadi Naib Juara Sukan SEA 2017, kemudian meneruskan perjuangan ke peringkat suku akhir Piala AFC bawah U-23 tahun sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh Korea Selatan pada awal Januari.

Pujian harus diberikan kepada pengendali sebelum ini, Frank Bendhart yang berani memberi peluang kepada pemain seperti Safawi Rashid (T-Team) dan Adib Zainuddin (Felcra FC) dalam membarisi skuad negara.

Sentuhan emas Datuk Ong Kim Swee dengan menyesuaikan barisan sedia ada dengan formasi 3-4-3 yang dilihat lebih sesuai setelah pulang berguru di Queen Park Rangers selama sebulan.

Kini nama seperti Akhyar Rashid, Safawi Rashid dan Adam Nor Azlin disebut dalam kalangan peminat tentang potensi mereka untuk menimba pengalaman di liga luar negara.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mengambil pendekatan dengan menghantar pemain yang berpotensi ke luar negara bagi mengikuti jejak langkah Shahrel Fikri (kini bermain di Liga Thailand) untuk meningkatkan kualiti permainan selain pengalaman yang bakal ditimba dengan suasana lebih mencabar.

Penulis berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat membuat perancangan teliti tentang masa depan pemain muda dalam usaha mempertingkatkan lagi tahap permainannya di masa akan datang dan percaya pengurusan baharu FAM mempunyai hubungan baik dengan banyak kelab dari luar negara.

Selain itu, FAM dengan kerjasama pentadbir liga, Malaysia Football League (MFL) perlu menambah baik struktur Liga Malaysia dengan memberi peluang kepada pemain muda untuk bermain lebih masa perlawanan untuk memastikan mereka kekal cergas dan konsisten.

Penulis memuji langkah diambil kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang merupakan pasukan dibentuk daripada skuad Piala Presiden dan belia selain beberapa pemain berpengalaman dalam mencorakkan hala tuju pasukan.

Pasukan ini merupakan satu pasukan yang menjadi contoh dalam menghasilkan produk akar umbi yang berkualiti dengan sentuhan ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim.

Kita mahu melihat satu sistem bola sepak lebih efisien untuk meningkatkan kembali kredibiliti liga bola sepak negara baik dari pengurusan, kebajikan pemain dan fasiliti.

Penulis juga berharap pentadbir liga juga menilai semula tentang kedudukan pemain import bagi kuota ASEAN. Setakat ia dilaksanakan dalam Liga Super dan Liga Perdana belum lagi menampakkan keputusan positif bagi pasukan bertanding sebaliknya kualiti mereka dilihat lebih kurang seperti pemain tempatan.

FAM dan Kementerian Pendidikan perlu bekerjasama untuk memupuk minat dalam kalangan pemain muda untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi selain bergelar pemain profesional.

Lihat sahaja skuad bawah 23 Jepun yang rata-rata mereka adalah pelajar universiti dan turut bermain bola sepak dalam kejohanan Sukan Asia.

Ia dilihat sebagai nilai tambah kepada pemain bukan sahaja memiliki kelulusan akademik yang baik namun mereka berusaha untuk mempelajari sesuatu selain daripada bola sepak.

Muhammad Shahrul Naim Universiti Sains Islam Malaysia