Antaranya kisah anak tidak menghormati ibu bapa, menengking ibu di tempat awam, selain ada yang mengugut dan memukul ibu atau bapanya. Malah lebih dahsyat lagi apabila ada yang menikam ibu atau bapa atas sebab remeh.

Di manakah sifat perikemanusiaan sehingga lupa segala jasa ibu bapanya? Mentang-mentanglah sudah dewasa, maka si anak berasa diri hebat dan berkuasa. Sejak kecil lagi, semua telah dididik dan diasuh agar hormat dan beradab dengan orang yang lebih tua. Bahkan dalam al-Quran juga sudah tertulis bahawa anak-anak perlu berbuat baik kepada ibu bapa dan berkata yang baik-baik.

Jika ada yang menyimpan dendam dan kecewa kepada ibu bapa, cubalah kikis dan hapuskan perasaan itu. Anak-anak tiada hak untuk marah dan merajuk dengan ibu bapa. Pengorbanan ibu bapa kepada anak-anak sangat besar hatta tidak dapat digantikan dengan emas dan permata.

Bagaimana menjaga adab dengan ibu bapa? Yang pertama, jadilah anak yang taat dan berjasa kepada kedua orang tua. Sentiasa berbuat baik dengan mereka. Yang kedua, jangan sesekali meninggi suara dan berkata kasar kepada mereka.

Yang ketiga, anak-anak perlulah sentiasa merendah diri dengan ibu bapa. Sentiasa meminta izin jika hendak melakukan apa sahaja atau mahu pergi ke mana-mana. Hargailah mereka sementara masih ada. Jangan sampai menyesali masa lalu apabila ibu bapa sudah pergi selama-lamanya.

AZLINA JUMADI

Johor