Secara relatif, SJKC merupakan sekolah yang paling banyak membeli buku kerja berbanding sekolah aliran lain. Mengikut kajian oleh Jiazong atau kumpulan aktivis ibu bapa SJKC dalam media sosial, sekolah terbabit terlalu mengutamakan pendekatan pembelajaran berlandaskan pengukuhan latih-tubi melalui buku kerja.

Amalan itu mungkin antara sebab mengapa SJKC memperoleh keputusan lebih baik dalam peperiksaan.

Malangnya, di sebalik amalan dan budaya menggunakan buku kerja secara optimum, ia membuka peluang berlakunya penyelewengan atau ketirisan tidak terhingga.

Segelintir guru besar SJKC didakwa cuba mengaut untung daripada penjualan buku kerja. Hasil kajian Jiazong mendapati, jumlah pendapatan tidak halal golongan itu sebenarnya bukan sedikit.

Kedai buku di SJKC terutama di bandar biasanya dikendalikan oleh kontraktor. Dilaporkan sesetengah guru besar menerima sogokan daripada pihak swasta demi ditawarkan kontrak kedai buku sekolah selama dua tahun (sepenggal).

Difahamkan mulai 2018, Kementerian Pendidikan (KPM) telah bertegas dalam menangani isu ini. Mengikut surat pekeliling kementerian itu, SJKC cuma dibenarkan memesan sebuah buku kerja bagi setiap subjek untuk lima subjek teras bagi tahap dua. Tahap satu pula tiada buku kerja dibenarkan sama sekali kerana dibekalkan secara percuma oleh kementerian.

Pemilihan buku kerja seharusnya dibuat oleh jawatankuasa panitia subjek di SJKC secara bebas. Faktor harga, kesesuaian dan mutu perlu dijadikan pertimbangan dalam pemilihan buku kerja.

Namun demikian, didapati masih ada segelintir guru besar berani meminta habuan dengan menjanjikan buku penerbit dijadikan pilihan. Kontraktor swasta khabarnya berebut-rebut memikat guru besar dengan pelbagai suapan agar diberi kontrak kedai buku sekolah.

Sesungguhnya, sebagai penjawat awam, guru besar SJKC dipertanggungjawabkan untuk memimpin pusat pendidikan naungan kerajaan dengan niat baik dan mereka diamanahkan supaya menjalankan tugas secara gigih, adil dan telus serta tidak boleh sesekali terlibat dalam sebarang kegiatan rasuah atau perlakuan tidak bermoral.

Sekiranya masih ada yang degil dan berani mengingkari perintah kementerian dan aku janji kakitangan awam, maka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa bertindak segera.

PEMINAT SJKC
Kuala Lumpur