Walaupun terdapat pelbagai peruntukan undang-undang yang mengawal selia penggunaan rokok konvensional, ramai pihak yang masih keliru dengan status shisha dan vape.

Ada yang berpendapat shisha dan vape dibenar untuk digunakan selagi kandungannya tidak terdapat bahan-bahan terlarang. Melalui penguatkuasaan kawasan larangan terbaharu untuk merokok pada 1 Januari lalu yang meliputi restoran dan warung makanan, Kementerian Kesihatan memaklumkan penggunaan shisha dan vape juga dilarang untuk digunakan di premis terbabit sekiranya mengandungi nikotin.

Walaupun bahan di dalam shisha dan vape tidak mengandungi bahan berasaskan tembakau atau nikotin, adakah asap yang terhasil itu sihat untuk dihidu oleh orang sekeliling? Semua persoalan itu perlu dijawab oleh pihak kementerian berkenaan.

Kajian mendalam perlu dilakukan segera oleh Kementerian Kesihatan mengenai kesan penggunaan shisha dan vape kepada orang sekeliling supaya rakyat tidak berasa bimbang.

Hasil kajian itu perlu didedahkan dengan segera supaya pihak-pihak yang berkaitan khususnya penjual menyedari kesan baik atau buruk shisha dan vape kepada pelanggan.

Dengan kemunculan pelbagai jenis teknologi moden, kerajaan juga perlu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan kewujudan bahan atau alat baharu selain shisha dan vape yang mempunyai persamaan dengan rokok. Langkah paling berkesan bagi mengelakkan kekeliruan mengenai perkara itu serta sebarang isu berkaitan dengan rokok adalah dengan mewujudkan akta khusus berkenaan rokok serta bahan dan alat menyerupainya.

Akta sedia ada seperti Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983, Akta Racun 1952 serta Akta Kastam 1967 tidak sesuai lagi untuk digunakan pada masa kini dalam mengawal selia sebarang aktiviti berkaitan dengan rokok serta bahan atau alat moden yang mempunyai ciri-ciri sama dengannya. Langkah mewujudkan akta khusus adalah selaras dengan hasrat Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang telah ditandatangani dan disahkan Malaysia pada 2005 yang memperuntukkan setiap negara anggota kepada konvensyen terbabit perlu mengambil segala langkah perlu bagi melindungi rakyat masing-masing daripada kesan negatif rokok.

Dengan ada akta khusus, kerajaan akan lebih berupaya melindungi rakyat Malaysia daripada kesan tidak baik aktiviti melibatkan rokok serta bahan atau alatan baharu yang sama dengannya.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia