Sungguh mengejutkan, rupa-rupanya pendapatan mereka bukan seribu dua tetapi berpuluh atau beratus ribu masuk ke kocek mereka setiap bulan.

Berdasarkan senarai awal, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan isteri, Betty Chew Gek Cheng memiliki pendapatan tertinggi sebanyak RM86,464.92.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali di tempat kedua dengan RM75,861.57 diikuti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pendapatan RM59,048.33.

Pendapatan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula seba­nyak RM50,253.88; Menteri Pen­di­­di­kan, Dr. Maszlee Malik RM54,569.81 manakala Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri sebanyak RM69,186.48.

‘Kerja kuat’ yang dilakukan setiap hari membolehkan mereka mendapat rezeki begitu banyak serta berbaloi. Jika badan sihat, wang itu boleh dibelanjakan untuk pergi ke mana-mana sahaja di dalam atau luar negara, khususnya bercuti dan membeli belah.

Malangnya, ada juga dalam kalangan wakil rakyat ini bila mempunyai wang berlebihan sanggup melakukan perkara tidak senonoh hingga merosakkan diri sendiri sampaikan disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Untuk kebahagiaan bersama keluarga, ada baiknya wakil rakyat khususnya menteri Kabinet yang ada banyak wang itu gunakannya secara berhemah bagi mengelak daripada menghidap sebarang penyakit atau menjadi suspek siasatan pihak berkuasa.

Sesungguhnya, setiap rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah tidak akan bising berlarutan perihal pendapatan ahli politik ini, termasuk penduduk di Kampung Pening Lalat dekat Sungai Petani, Kedah sekalipun setiap seorang daripada wakil rakyat itu dilimpahi pendapatan lebih RM10,000 sebulan.

Namun, tentu seronok jika ada wang beribu-ribu mencurah setiap bulan seperti wakil rakyat Malaysia.

ABD. RAZAK OSMAN

Sungai Petani