Secara umum, kartun editorial kebiasaannya banyak menyumbang kepada pemahaman ringkas tentang fokus berita utama yang dipaparkan secara harian yang disampaikan secara santai dan lucu. Kehadirannya amat berkesan menyampaikan keseluruhan mesej berpandukan sesuatu berita.

Sifatnya mudah untuk difahami telah menjadikannya medium ini sebagai perantara kepada keseluruhan isi kandungan berita. Dialog yang pendek tetapi jelas, memudahkan mesej disampaikan serta membolehkan pembaca berfikir sejenak tentang keseluruhan maksud.

Senyum Kambing adalah antara contoh yang popular apabila kita memperkatakan tentang kartun di akhbar tempatan yang senantiasa menghiasi muka depan Utusan Malaysia. Sehingga kini masih berfungsi dengan tujuan asal kewujudannya. Pembaca dapat memahami mesej yang cuba diutarakan walaupun membacanya sepintas lalu kerana kekuatan yang ada pada medium ini menjadikan pemahaman pembacaan yang mudah.

Ternyata peranan seorang kartunis tidak kurang penting jika dibandingkan dengan tugas seorang wartawan dalam menterjemahkan berita. Mereka bukan sahaja perlu menghasilkan lukisan yang berkesan malah turut bertindak sebagai pengolah kepada berita dalam bentuk yang lebih santai dan efektif.

Kebolehan untuk mengungkap sesuatu berita dengan susunan dialog yang ringkas bukan mudah untuk dilakukan tambahan pula dengan selitan unsur pengajaran, sindiran dan informasi dengan gaya menghiburkan. Semoga fungsi kartun editorial ini akan terus kekal dan dimanfaatkan demi kelangsungan akhbar di Malaysia.

SHAHRIL ANUAR 
ABDUL GHALIM
Rembau, Negeri Sembilan