Sikap ini akan memberi manfaat ketika kita ditimpa kesusahan. Merekalah yang akan menjadi saudara untuk memberi bantuan awal sebelum ahli keluarga terdekat datang membantu. Situasi sedemikian mungkin satu amalan biasa oleh masyarakat di kampung.

Namun, ia jarang dipraktikkan di kawasan bandar lebih-lebih lagi struktur perumahan di bandar seperti kondominium, apartmen atau kawasan rumah teres berpagar dan berkawal seolah-olah membatas perhubungan itu.

Kesibukan bekerja yang kebanyakan penghuni bandar terpaksa keluar awal pagi dan balik malam juga menyebabkan hubungan antara jiran amat terhad.

Sesetengah daripadanya tidak sempat pun nak berkenalan dengan jiran mereka. Hatta kalau ada jiran yang bersalin, pergi luar negara atau balik kampung pun tidak sedar.

Ada antaranya tidak ambil tahu langsung hal jiran apatah lagi mahu bergaul mesra. Mereka menganggap sikap sedemikian seolah-olah tidak mahu jaga tepi kain orang atau mengelak untuk terjebak dalam golongan ‘makcik-makcik bawang’.

Walau bagaimanapun, adab bersama jiran juga patut dijaga demi menjaga keharmonian tetangga. Jangan mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan hak-hak jiran.

Elakkan membuat bising keterlaluan, membunyikan motor dengan kuat, bermain mercun atau memelihara haiwan seperti kucing sehingga menjejaskan kebersihan rumah jiran.

Ramai tidak tahu perlakuan bising sehingga mengganggu ketenteraman awam boleh didakwa di bawah Seksyen 13(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Dalam hal ini, amalan komunikasi dengan jiran-jiran amat penting bagi mengelak berlaku salah faham dan pergaduhan.

Ketika ini komunikasi melalui group WhatsApp boleh digunakan bagi mengeratkan persaudaraan tanpa perlu bersemuka.

Medium ini amat berkesan dalam menyampaikan apa sahaja maklumat terutama dalam hal pencegahan keselamatan dan sebagainya.

Sikap sebegini amat baik dan perlu diteruskan supaya keharmonian hidup berjiran tidak hanya diamal masyarakat di kampung.

MARZILAWATI AHMAD
Taman Lestari Putra