Menurut satu kenyataan, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menyatakan kesediaan untuk menyalurkan bayaran balik pinjaman fasa pertama sebanyak RM350 juta dalam tempoh terdekat.

Selepas kerajaan Sarawak melangsaikan hutang berkenaan, barulah tindakan susulan akan dimuktamadkan termasuk jadual pelaksanaan, senarai sekolah dan proses tender bagi projek tersebut.

Setakat 30 Jun lalu, kerajaan Sarawak masih mempunyai hutang sebanyak RM2.352 bilion dengan Kerajaan Persekutuan.

MCA amat kesal dengan sikap Kerajaan Persekutuan yang seolah-olah menindas pelajar-pelajar di Sarawak apabila mensyaratkan kerajaan negeri itu membayar balik hutang sebanyak RM350 juta sebelum pihaknya menyediakan dana untuk membaik pulih sekolah daif.

Sarawak adalah salah satu negeri yang bukan ditadbir Pakatan Harapan (PH) dan tindakan itu seolah-olah menghukum penduduk Sarawak. Kesombongan Kerajaan Persekutuan bakal menghalang ramai anak-anak Sarawak daripada melanjutkan pelajaran mereka kerana tidak mempunyai persekitaran pendidikan selesa.

Nampaknya, Kerajaan Pusat tidak mampu membezakan antara politik dan pendidikan. Kerajaan PH juga sanggup menuduh wang kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ‘dirompak’ tanpa menyediakan bukti, menipu mengenai hutang negara yang kononnya mencecah RM1 trilion dan sekarang menafikan dana untuk membaik pulih sekolah-sekolah daif.

Pendekatan kerajaan PH sekarang cukup berbeza berbanding Kerajaan Pusat yang ditadbir Barisan Nasional (BN) yang pada 2011 telah mengambil alih hutang kerajaan Pulau Pinang bernilai RM655.2 4 juta untuk membolehkan kerajaan DAP menjalankan penstrukturan semula industri perkhidmatan airnya.

Ini kerana kerajaan BN memahami bahawa isu air tidak patut dipolitikkan dan telah menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat walaupun negeri Pulau Pinang ditadbir pihak pembangkang pada masa itu.

Namun, hari ini kerajaan PH berperangai seperti pembuli apabila tergamak menjejaskan peluang pendidikan dan masa depan anak-anak Sarawak semata-mata kerana perbezaan politik.

MIKE CHONG YEW CHUAN

Jurucakap MCA