Seorang duda mengeluh apabila mendapati janda muda yang baharu dinikahinya hanya lebih mengutamakan wang ringgit dari mengurus rumah tangga. Makan minum suami juga tidak terjaga. Manakala seorang wanita kesal kerana jejaka pilihan yang dianggap ‘orang berada’ rupa-rupanya bersikap bengis dan amat kedekut dalam memenuhi keperluan harian.

Pemilik sebuah banglow usang dengan reka bentuk tradisional yang unik dan menarik, diwarisi sejak beberapa generasi, ‘menyesal tak sudah’ apabila terpedaya dengan kontraktor binaan supaya meroboh rumah itu dan dibina semula dengan janji akan mengekalkan reka bentuk asal. Ternyata, setelah diroboh, langsung tidak berupaya untuk mengembalikan keunikan silam. Baru disedari, rumah itu sepatutnya dibaiki, bukan diroboh.

Secebis paparan ini menzahirkan manifestasi betapa kehidupan sering tertipu dengan apa yang dijanji, berbeza dengan apa yang mampu diterjemahkan. Semua ini gara-gara mudah percaya atau terpesona dengan janji, tanpa berfikir secara logik, rasional dan berobjektif. Sementara, elemen yang mempengaruhi keadaan ini selalunya bertolak dari sikap taksub, obses, ekstrim dan prejudis.

Ada kalanya bertolak dari sikap tidak tahu bersyukur, iri hati, dendam dan kecenderungan mengejar apa yang tidak pasti. Dan ada kala hanyut dengan dakyah dan hasutan pihak-pihak yang mempunyai agenda tersirat, seperti demi kepentingan kaum atau agama.

Beruntung bagi penduduk di sesetengah negara bergolak, ekoran ‘terpedaya’ dengan pengaruh hasutan luar, jika mereka masih berpeluang untuk membuat ‘titik pusingan’ (turning point) bagi mengembalikan keamanan dan kemakmuran seperti sebelumnya. Namun, kebanyakannya terus mengalami kehancuran tanpa penghujung.

Jangan dikatakan mustahil hal demikian boleh berlaku di mana-mana negara, hatta di negara-negara yang aman makmur seperti Malaysia. Dunia politik sejagat semakin tidak menentu dan sentiasa mencabar. Benteng utama ialah dengan memelihara jati diri bangsa, selain membina ukhuwah sesama ummah.

Kenyataannya, di Malaysia perihal ketidak-puasan hati rakyat terhadap prestasi tadbir urus negara semakin disebut dan terpamer di mana-mana. Antara yang kerap dipersoalkan ialah janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang tidak tertunai, terutama yang berkaitan dengan kesejateraan hidup rakyat.

Aspek perpaduan semakin longgar dan rapuh. Rakyat pelbagai kaum dan keturunan asyik ‘ditiup’ sentimen perkauman dan dipelebarkan perbezaan. Banyak unsur-unsur kedudukan istimewa agama Islam dan orang Melayu semakin ‘diterjah’ tanpa santun dan beradab. Ada rakyat di negeri-negeri tertentu sudah berani mahu ‘mengheret keluar’ negeri mereka dari Malaysia.

Jadi, jangan lagi hairan jika bersilih hari, kelihatannya keyakinan rakyat terhadap kecekapan, keberkesanan dan kredibiliti tadbir urus kerajaan semakin luntur. Tegasnya, apa yang sedang berlaku wujudnya ‘defisit keyakinan’ rakyat terhadap kerajaan. Nada tuturnya tidak serupa, dan bahasa percakapan mereka jauh berbeza, berbanding sebelum PRU14 lalu. Diibarat kata, “dulu tak cukup, sekarang dah tak habis”.

Rakyat tidak berminat dengan isu-isu remeh seperti sebaran video seks sumbang walau pun dikaitkan dengan mana-mana individu pemimpin. Soal-soal pemilihan dalaman parti seperti menentukan siapa yang patut mengambil-alih jawatan Perdana Menteri juga tidak perlu dipanjangkan. Kata rakyat: “Tumpukan saja pada prioriti…”.

Rakyat mahu lihat kerajaan sentiasa fokus dalam membela nasib rakyat terutama dari segi mengurangkan kos sara hidup, memperoleh peluang pekerjaan, selain menentukan suasana aman, damai sentiasa melingkari kehidupan. Mereka mahu masa depan negara kekal stabil dan terus maju membangun.

Menjadi persoalan rakyat, misalnya, tentang sejauh mana pengurusan alam sekitar dlaksanakan dengan berkesan? Apa sudah jadi dengan kes-kes berkaitan perundangan dan pendakwaan, terutama yang membabitkan tarikan umum? Sejauhmana kewibawaan barisan kabinet dalam menutur hal-hal berkaitan pengurusan kerajaan? Kenapa ada kala mereka bertelagah secara terbuka?

Terdapat menteri yang setiap kali ‘membuka mulut’ terus mencetus kontroversi terutama dalam hal-hal hukum hakam syarie dan muamalat Islam. Hati umat Islam sering ‘terganggu’ dengan kenyataan-kenyataan berbaur liberalisme yang dianggap janggal dan tidak sesuai.

Menjadi harapan rakyat, agar kerajaan yang mereka pilih dapat mengatur program pembangunan negara secara konstruktif serta berupaya menggariskan dasar-dasar yang meyakinkan, baik bagi kepentingan jangka pendek mahu pun jangka panjang.

Pesan orang tua, “beringat-ingatlah…kalau suka pun pada sesuatu, biar selalu tak cukup, jangan sampai tak habis…!”.

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.