Perkara sama berlaku ketika hari pertama pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) malah alasannya juga sama iaitu ‘masalah teknikal’.

Dengan kembalinya cukai jualan dan perkhidmatan (SST), drama dan alasan sama dikitar semula.

Saya tidak akan terkejut apabila beberapa hari selepas ‘masalah teknikal’ berlaku, semua Telco akan kembali memberikan jumlah penuh kepada setiap pembelian tambah nilai prabayar.

Persoalannya, nilai enam peratus yang sudah diambil daripada pengguna sebelum ini adakah akan dikembalikan kepada pengguna atau diserahkan kepada kerajaan?

Jika dikembalikan kepada pengguna maka Telco perlu mengesan kembali semua pengguna yang dipotong jumlah tambah nilai mereka. Saya rasa ini mustahil kerana mereka yang membeli secara manual sukar dikesan.

Kalau mahu serah kepada kerajaan, maka mereka perlu bayar 12 peratus (enam peratus caj SST terhadap Telco ditambah enam peratus ‘diambil’ daripada pengguna).

Namun, melihatkan sejarah drama ‘masalah teknikal’ ketika pelaksanaan GST dahulu, berkemungkinan besar jumlah jutaan ringgit yang sudah ‘ditelan’ daripada tambah nilai pengguna itu akan masuk ke kantung Telco.

Apa pun, saya ingin menyeru Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo agar meneliti perkara ini malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri menyiasat sebarang unsur salah guna kuasa dalam kalangan pengurusan Telco.

Siasat sama ada, wujud unsur pencatutan atau bersepakat untuk mengambil keuntungan di atas tempoh pelaksanaan sistem baharu sehingga menjejaskan kepentingan awam. Akhirnya rakyat marah dan kerajaan juga dipersalahkan.

DUDA PRABAYAR

Kajang