Tujuan kes dirujuk ke jabatan itu adalah bagi mendapatkan khidmat nasihat, sokongan sosial dan emosi serta mengesan waris keluarga bagi membincangkan tentang penjagaan ibu terbabit dan bayinya selepas discaj dari wad.

Hal itu penting bagi mengelak sebarang kemungkinan seperti masalah pembuangan bayi, jual beli bayi serta kecenderungan berlakunya Post Partum Depression (PPD) ke atas ibu hamil tanpa nikah itu. Kajian menunjukkan ketiadaan sokongan keluarga dan persekitaran sosial boleh mempengaruhi tingkah laku negatif ibu tersebut.

Mutakhir ini menunjukkan gejala sosial meningkat berikutan kegagalan masyarakat khususnya ibu bapa menunjukkan contoh baik serta mengabaikan ajaran agama sehingga menyumbang kepada masalah tingkah laku anak-anak.

Sehubungan itu, kita harus berbalik semula kepada ajaran agama yang menitikberatkan tanggungjawab, nilai kasih sayang dan hormat-menghormati di antara satu sama lain di dalam sesebuah keluarga.

Tumpuan aspek kerohanian dan penerapan nilai-nilai agama seperti mendekatkan diri dengan Allah SWT, ­melakukan amalan dituntut Islam, mendirikan solat wajib dan sunat serta membaca al-Quran amat penting bagi mengurangkan gejala sosial dalam kalangan masyarakat.

SURIANI SHAARI
Universiti Utara Malaysia
Cawangan Kuala Lumpur