Di bawah Malaysia baharu yang dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bakal mengubah segalanya untuk pastikan negara kembali gilang-gemilang sebagai sebuah negara maju yang bermaruah dan makmur.

Itulah harapan Perdana Menteri dan rakyat keseluruhannya. Di saat seakan-akan negara kita menuju kehancuran, dengan berkat doa rakyat Malaysia dan pertolongan Allah SWT jua membuka hati rakyat mengubah segalanya.

Oleh yang demikian, semua lapisan rakyat tidak kira apa jua bangsa dan anutan agama asalkan mereka warganegara Malaysia perlu bersama-sama membantu membina segala impian demi kesejahteraan rakyat.

Tidak perlulah membangkitkan ketidaktentuan bagi meracuni fikiran rakyat kerana itu adalah pilihan rakyat sekurang-kurangnya selama lima tahun lagi.

Simpan dahulu niat itu sehingga pilihan raya akan datang tapi bukannya sekarang.

Ahli-ahli politik perlu bersikap profesional dan matang kerana rakyat memerhatikan langkah sumbang segelintir mereka yang bukan dapat menambahkan simpati tetapi rasa meluat akan tingkah laku mereka.

Kalau kita cintakan negara, bekerjasamalah demi memajukan negara supaya kukuh kembali ekonomi serta menjadi sebuah negara yang bermaruah dan disegani dunia.

Buangkan sifat dendam dan bermusuhan, berpeganglah kita dengan amalan Rukun Negara.

Semangat patriotisme sepatutnya dipupuk bukan hanya melaungkan slogan sahaja tetapi kibarkan Jalur Gemilang sama ada di rumah, pejabat dan di mana sahaja.

Hanya beberapa minggu sahaja lagi menjelang Hari Kebangsaan tetapi malangnya diperhatikan Jalur Gemilang jarang nampak di mana-mana seolah-olah ia dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Sepatutnya setiap premis perniagaan, setiap rumah dan setiap kenderaan telah pun mengkibarkan Jalur Gemilang.

Mana perginya sikap patriotisme yang dilaungkan itu?

Mulut kata lain, di hati berbisik lain.

Pada hemat saya, rakyat Malaysia belum lagi mempunyai semangat patriotisme yang diharapkan atau pun yang sebenar-benarnya tulen.

Dengan kata lain, hanya nampak di luaran sahaja tetapi di dalam hati begitu menghampakan.

Kalau dibandingkan dengan semangat patriotisme rakyat Jepun atau pun jiran kita, Indonesia di mana semangat patriotisme mereka begitu tinggi sekali.

Mereka sanggup buat apa sahaja demi tanah air termasuk dari segi mengutamakan bahasa.

Kita perlu renung semanat mereka ini. Pelajari dan amalkan semangat yang ditunjukkan rakyat Jepun dan Indonesia ini.

SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL

Seremban