Pada awalnya pengunjung yang masuk mahu membeli satu barangan sahaja tetapi akibat terlalu teruja dengan barangan ditawarkan selain murah, berakhir dengan pembelian luar kawalan tanpa perancangan.

Barangan plastik biasanya tidak tahan lama dan akan lebih segera dibuang jika ada kerosakan kerana nilainya murah dan mudah diperoleh. Penggunaan yang tidak terkawal dan berleluasa menyebabkan bahan buangan plastik sentiasa bertambah. Disiplin untuk melaksanakan pelupusan plastik yang mesra alam dengan teknologi pelupusan sepatutnya sangat diperlukan. Hakikatnya, fenomena bumi plastik adalah satu mimpi ngeri.

Sifat plastik tidak mudah terbiodegradasi atau lebih mudah difahami, tidak mudah terurai. Pereputan plastik mengambil masa bertahun-tahun. Sementara kesan plastik apabila dibakar, asapnya menghasilkan gas beracun yang menjejaskan kesihatan dan kerosakan pada organ manusia apabila terhidu.

Antara penyakit akibat kesan gas beracun adalah kanser. Malah gas beracun itu juga menyumbang kepada penipisan lapisan ozon. Beg plastik seharusnya diurus sebagai bahan kitar semula dan tidak bercampur dengan sampah sarap yang lain. Ini disebabkan sisa buangan plastik memberi kesan kepada hidupan terutama sumber air seperti tasik, sungai dan laut.

Di Thailand, daun pisang dijadikan alternatif pembungkusan. Nenek moyang kita juga ada alternatif tradisional iaitu menggunakan barangan tembikar dan seramik untuk pinggan mangkuk dan cawan. Sudu pula diperbuat daripada tempurung kelapa dan membungkus makanan dengan menggunakan daun pisang dan daun upih serta memasak ketupat menggunakan daun kelapa muda.

Masalah ini seharusnya menjadi punca pendapatan kepada orang kampung untuk memasarkan produk yang sukar diperoleh di bandar seperti daun pisang, tempurung kelapa, upih dan daun kelapa muda,

Kita perlu peka dan bertindak sekarang bagi mengekalkan kehijauan bumi untuk diwarisi oleh anak cucu kita kelak.

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Bukan sekadar tulisan pada beg plastik kitar semula atau cogankata di papan tanda, bukan sekadar di hujung lidah, di depan kamera, juga bukan sekadar status dan komen dalam media sosial. Kita seharusnya mendidik generasi muda supaya menghargai bumi agar terus menghijau dan tidak menjadi bumi plastik yang penuh dengan sampah.

SAASOBAH @ 
NOR ADIBAH ALI
Kolej Komuniti Pasir Gudang, Johor