Menteri Besar, Amirudin Shaari dilaporkan berkata, keputusan kerajaan negeri itu sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967. Ia juga selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar kerajaan negeri memartabatkan bahasa Melayu.

Sebelum ini, Utusan Malaysia membangkitkan isu berhubung titah Sultan Selangor apabila papan tanda jalan di Tanjong Sepat masih menggunakan dwibahasa sedangkan Sultan Sharafuddin menitahkan hanya bahasa Melayu digunakan.

Bagi saya langkah kerajaan Selangor menggunakan hanya bahasa Melayu di semua papan tanda jalan di Selangor harus dipuji dan disanjung tinggi serta amat sesuai dengan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Janganlah kerana keghairahan pihak tertentu, kita pantas membelakangkan peraturan dan menutup sebelah mata mengenai apa yang kita telah persetujui bersama tatkala pembentukan Persekutuan Tanah Melayu lebih enam dekad lalu.

Tiada cacat celanya peraturan tersebut kerana setelah lebih 60 tahun, kita boleh hidup dengan aman dan sejahtera. Kita semua harus sedar dan menerima hakikat bahawa antara kita saling memerlukan. Tidak semua boleh mengaku kita sempurna berbanding orang lain.

Kedaulatan bahasa kebangsaan wajar dipertahankan. Ini wasiat raja-raja Melayu. Semua orang boleh baca kalau menggunakan bahasa tersebut. Bahasa Melayu antara bahasa yang paling mudah dipelajari.

Tahniah Selangor. Saya harap negeri-negeri lain mencontohi ketegasan kerajaan Selangor yang diterajui Amirudin. Jangan jadi seperti pepatah dalam bahasa Mandarin iaitu mencari tulang dalam telur atau sengaja mencari masalah.

ABDULLAH 
ABDUL RAHMAN
Bandar Seri Jempol, 
Negeri Sembilan