Semakin banyak sisa makanan yang dibuang, semakin tinggi kos pengurusan yang terpaksa dikeluarkan pihak kerajaan bagi menguruskan bahan sisa makanan terbabit.

Ini ditambah lagi dengan jumlah perbelanjaan yang terpaksa diperuntukkan bagi mengimport bahan makanan untuk menampung keperluan makanan penduduk negara ini.

Makanan yang tidak dihabiskan juga akan mengundang pelbagai jenis penyakit kerana lebihan makanan ini akan menjadi tarikan kepada haiwan perosak yang boleh membawa penyakit seperti tikus, lalat dan nyamuk untuk membiak.

Isu ini tidak boleh lagi dipandang ringan kerana dalam keadaan kita dengan mudahnya membuang makanan, masih ramai tidak mendapat makanan mencukupi untuk diri serta keluarga.

Golongan fakir miskin, gelandangan, warga tua yang daif, anak–anak yatim dan ramai lagi memerlukan makanan seharian bagi kesinambungan hidup mereka.

Oleh itu, langkah proaktif perlu diambil segera. Pada tahun 2015, pihak kerajaan telah melaksanakan program Save Food Malaysia (MYSave Food) sebagai usaha mengurangkan masalah kehilangan dan pembaziran makanan di negara ini.

Namun program ini ibarat mencurah air ke daun keladi, malah masalah ini semakin menjadi-jadi. Selain pengenalan Akta Pembaziran Makanan bagi mengatasi isu ini, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mengikut jejak langkah Perancis baru–baru ini yang melarang kedai atau pasar raya membuang makanan lebihan tidak terjual.

Lebihan makanan yang tidak berjaya dijual perlu diberikan kepada persatuan–persatuan pengguna untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.

Langkah ini bukan sahaja dapat mengatasi masalah pembaziran makanan, tetapi pada masa sama dapat membantu pihak yang lebih memerlukannya.

DR. MUZAFFAR
SYAH MALLOW

Pensyarah USIM