Cadangan ini harus dilakukan segera supaya produk dihasilkan oleh negara melalui pelaburan pendidikan benar-benar menjadikan siswazah yang cukup sifat ilmunya dan amat patriotik. Harus diakui, kejayaan kerajaan lalu dalam menyiapkan modal insan berilmu adalah pada tahap kelas dunia, namun gagal menghasilkan individu yang santun, cinta dan kasih kepada negara.

Ini dapat dibuktikan apabila kita membaca dalam media sosial tentang tahap komen yang ditulis amat menjengkelkan sehingga hal-hal sensitif dan tiang seri negara juga disentuh.

Masih ramai dalam kalangan rakyat terutama mahasiswa yang tidak ambil tahu tentang amalan demokrasi berparlimen, sistem raja berperlembagaan, semangat federalisme, pembentukan Malaysia, pengasas negara dan sejarahnya serta penentangan orang Melayu melalui UMNO menyahkan penjajah.

Amatlah malang negara kita yang penuh dengan siri kejayaan memiliki golongan terpelajar yang tiada semangat mencintai negara dan tiada pengetahuan tentang asas tata negara. Perkara ini dicadangkan supaya diadakan di tahun akhir peringkat universiti dalam negara dan pelajar di seberang laut tidak kira kaum.

Kerajaan juga digesa bersifat tegas dengan mana-mana pihak yang cuba mencabar tiang-tiang seri negara terutama yang termaktub dalam Perlembagaan. Sekiranya kita tidak menghargai negara, kepada siapa lagi kita mahu harapkan?

HATHUS

Selangor