Pengakuan terbuka dengan dakwaan serius seperti ini kepada seorang menteri kanan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) bakal membawa implikasi besar kepada undang-undang negara. Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menggesa siasatan dijalankan secepat mungkin untuk mengelak berlakunya kecelaruan terhadap kepemimpinan Kerajaan Persekutuan walaupun menteri kanan berkenaan telah membuat penafian.

Siasatan juga harus dilakukan untuk membersihkan nama orang yang dituduh. Kita berpegang kepada prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga diadili di mahkamah sesuai dengan ungkapan presumed innocent until proven guilty.

Kedaulatan undang-undang negara harus dijulang. Seksyen 377A dan 377B Kanun Keseksaan memperuntukkan undang-undang berkaitan salah laku seks luar tabii dengan tempoh penjara dan sebatan tertentu.

Dewan Pemuda Ikatan mahu melihat kepemimpinan Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai masalah moral dan seharusnya menjadi teladan kepada rakyat.

Seorang pemimpin sewajibnya bersih daripada salah laku moral dan jenayah. Pemimpin juga perlu menjaga akhlak dan adab, tidak kira di mana sahaja dan bila-bila masa. Menjadi pemimpin politik bukanlah seperti kerja pejabat yang terhad kepada aturan masa pukul 8 pagi hingga 5 petang. Rakyat menilai perwatakan dan akhlak pemimpin setiap masa.

Dakwaan terbuka yang dibuat mempunyai implikasi besar kepada pemimpin berkenaan. Kecurangan kepada pasangan dan perbuatan luar tabii adalah petanda keruntuhan moral seseorang individu. Jika pemimpin itu curang kepada pasangan hidupnya, individu tersebut pasti akan curang kepada rakyat.

Pihak kami menggesa siasatan dibuat secepat mungkin kerana dakwaan ini melibatkan dua individu penjawat awam; setiausaha sulit kanan kepada timbalan menteri dan seorang menteri kanan. Anak muda sekarang sudah muak dengan serangan peribadi secara kotor seperti yang pernah berlaku pada 1998, walhal tahun hadapan kita menghampiri tarikh akhir Wawasan 2020.

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Ikatan