Sebagai pensyarah, melihat pelajar saya yang rata-ratanya berusia dalam lingkungan 18 hingga 22 tahun nampaknya sudah cukup matang untuk memilih bakal pemimpin negara. Sementelah lagi, di peringkat universiti mereka juga berpengalaman mengundi untuk memilih calon bagi Majlis Perwakilan Pelajar.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga telah menggariskan empat hujah yang wajar bagi umur 18 tahun sebagai cukup matang untuk mengundi.

Pertama, usia 18 tahun sudah mencapai umur mukallaf dan akil baligh. Pada usia ini mereka telah boleh menilai mana yang baik dan buruk. Melihat trend belia pada masa kini, rata-rata telah mula berjinak-jinak dengan perniagaan dan ada yang berjaya. Jika sudah boleh buat keputusan dalam perniagaan, sudah tentu mereka juga mampu untuk mengundi dan memilih pucuk pimpinan negara.

Kedua, kebanyakan negara maju menetapkan had usia sekitar 18 tahun untuk mengundi. Di United Kingdom, ia diamalkan sejak 1970 lagi. Di Indonesia pula, mereka yang berumur 17 tahun sudah layak untuk mengundi! Jadi sudah sampai masanya hak sama diberikan kepada golongan muda kita.

Ketiga, sirah Rasulullah SAW dan para sahabat menunjukkan bahawa para pemuda telah diberi peranan penting. Saidina Ali misalnya dipilih untuk menjadi pemimpin pada usia yang masih muda. Salahuddin Al- Ayubi juga menakluk semula Baitulmaqadis pada usia muda.

Keempat, perkembangan maklumat dan teknologi tinggi menjadi pelengkap kematangan pemuda untuk mengundi. Dengan kecanggihan teknologi pada masa kini disusuli rancaknya perkembangan Revolusi Industri 4.0, merekalah sebenarnya yang menerajui perkembangan tersebut.

Sudah jelas kini bahawa belia di Malaysia juga sudah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan belia dari negara-negara maju dan membangun lain. Jika diberikan peluang, sudah pasti mereka mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh amanah demi kestabilan politik, ekonomi dan perpaduan negara.

NORINTAN WAHAB

Pensyarah Undang-Undang