Ianya melibatkan Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang tertinggi dalam negara kita sementara isu tanah yang terletak dibawah kuasa kerajaan negeri.

Berdasarkan Perkara 91 (5) Perlembagaan Persekutuan mengenai ‘Majlis Tanah Negara’ jelas menyatakan bahawa ‘Menjadi kewajipan Majlis Tanah Negara (MTN) untuk membentuk, dari semasa ke semasa, dengan berunding dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan -Kerajaan Negeri dan Majlis Kewangan Negara suatu dasar negara untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah di seluruh Persekutuan bagi perlombongan, pertanian, perhutanan atau apa-apa maksud lain, dan untuk mentadbirkan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengannya; dan Kerajaan-Kerajaan Persekutuan dan Negeri hendaklah mengikuti dasar yang dibentuk sedemikian’.

Pada pandangan saya, dari perspektif Perlembagaan Persekutuan ini, keputusan MTN yang dibuat di bawah Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan adalah sebahagian daripada kesan operasi undang-undang yang mengikat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri untuk mematuhinya.

Dasar Spesifik Pemegangan Tanah Bagi Kawasan Kampung-kampung Baru MTN telah mengambil maklum akan ketetapan dasar spesifik mengenai tempoh pemegangan tanah bagi kampung-kampung baru di seluruh negara seperti berikut: Mesyuarat MTN Ke-42 pada 8 Januari 1988 telah memutuskan bahawa tempoh pajakan bagi kampung-kampung baru dinaikkan dari 30 tahun kepada 60 tahun; dan Mesyuarat MTN Ke-53 pada 25 April 1997 menetapkan bahawa tempoh pajakan bagi kampung-kampung baru tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.

Pihak-pihak yang berkaitan dengan isu ini boleh wujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji perkara ini dengan lebih mendalam sebelum sebarang kata putus diberikan.

Ini adalah penting supaya tidak berlaku isu berbangkit di kemudian hari kerana ianya melibatkan proses perundangan serta kebajikan jangka panjang penduduk di kawasan yang terlibat.

Jawatankuasa khas terbabit hendaklah terdiri daripada mereka yang betul-betul pakar dan mahir dalam bidang perundangan khususnya berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan negara dan undang-undang atau kanun tanah negara terutamanya yang berkaitan dengan proses pemberimilikan tanah dalam keadaan-keadaan khas untuk pegangan selama-lamanya di bawah seksyen 76(aa)(iii) Kanun Tanah Negara 1965.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Negeri Sembilan