Kita sedia maklum, barang makanan atau produk yang dihasilkan oleh orang Islam dijamin bersih lagi suci daripada bahan campuran yang ada unsur syubhah.

Ini terbukti apabila ada ekspo barangan bumiputera diadakan, kita dapat melihatnya sendiri betapa berkualiti barangan makanan yang dibungkus dengan baik tetapi malangnya barangan itu sukar diperoleh di pasaran terutama pasar raya.

Tidak salah jika kita utamakan produk yang dihasilkan orang Melayu kerana ia juga dianggap sebagai jihad membantu ekonomi mereka yang selama ini sudah ketinggalan jauh ke belakang.

Kita tidak mahu lagi lihat kalau 30 tahun dahulu penjaja Melayu menjual nasi lemak di tepi jalan tetapi setelah tempoh sama selepas itu, kita masih berniaga di warung sama yang sudah usang.

Kita masih tidak berubah atau di takuk lama sedangkan kaum lain bertambah maju ke depan malahan ramai dalam kalangan mereka berjaya hingga ke tahap membuka restoran atau mempunyai pasar raya sendiri.

Pada saya, semangat sahaja dengan bercakap dan canang ke sana sini tetapi masih lagi membeli barangan selain daripada produk hasil bumiputera adalah ibarat ‘pi mai pi mai tang tu’.

Kita tidak akan ke mana, hanya tinggallah ‘angan-angan mat jenin’ sahaja kerana ini bukan kali pertama, orang kita sering bangkitkan setiap tahun sejak merdeka lagi.

Kalau ada pun semangat menolong ekonomi orang Melayu, saya rasa selepas peristiwa 13 Mei 1969, dalam tempoh setahun orang Melayu berpusu-pusu beli segala makanan baik yang kering atau basah daripada peniaga bumiputera. Tetapi setahun selepas itu, kita beransur-ansur berubah.

Tidak lagi membeli barangan keluaran umat Islam kerana bangsa kita mudah sangat lupa.

Kalau benar kita ingin membantu perniagaan dan ekonomi orang Melayu, pertama sekali jangan dijadikan bangunan Arked Mara atau pusat perniagaan yang didirikan oleh jabatan agama Islam negeri-negeri atau UDA nampak lengang seperti apa yang kita dapati sekarang ini.

Di Negeri Sembilan misalnya, agak sedih apabila pusat perniagaan didirikan Jabatan Agama Islam negeri di Seremban nampak lengang, begitu juga bazar di Ampangan dan Arked Mara negeri.

Saya ulangi sekali lagi, kalau mahu bantu ekonomi bangsa sendiri, komitmen berterusan hendaklah disematkan kepada setiap orang Melayu termasuk pemimpin dan ahli-ahli korporat serta pegawai-pegawai kerajaan.

Berikan perhatian dan laksanakan dengan jujur dan semangat kekitaan. Jangan pandai cakap sahaja, beranikan diri dan kotakan apa yang dipendamkan selama ini. Yang ada kuasa, gunakan kuasa anda dan jangan sesekali menindas atau cuba kenakan sewaan yang terlalu mahal hingga peniaga bumiputera gulung tikar.

Ahli-ahli korporat yang berjaya dan badan atau agensi kerajaan termasuk Lembaga Tabung Haji, cuba-cubalah usahakan membuka pasar raya mega bercirikan Muslim bagi membantu menjana ekonomi orang Melayu.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN

Ampangan