Secara keseluruhan, lebih 200,000 undi direkodkan dengan rata-rata menyatakan tidak puas hati pencapaian 100 hari pertama PH mengambil alih pentadbiran negara termasuk bancian kumpulan prokerajaan.

Undian akhbar Sinar Harian menunjukkan 78 peratus daripada 26,000 pengundi merasakan PH gagal menunaikan janji-janji manifestonya sementara The Malaysian Insight mendapati 67 peratus daripada 53,000 peserta bancian tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan baharu.

Dalam laman media sosial pula, Otai Bersih merekod 80 peratus rasa tidak puas hati, Kelab Maya Mahathir (88 peratus), The Patriots (89 peratus) dan Tentera Troll Kebangsaan Malaysia (TTKM) mencecah 90 peratus tidak berpuas hati

Sebagai salah seorang daripada peserta bancian, saya berasa terhina apabila ada kumpulan prokerajaan mendakwa undian itu disabotaj cybertrooper pembangkang sedangkan umum mengetahui PH yang paling banyak menggunakan khidmat cybertrooper.

Golongan prokerajaan perlu faham mereka bukannya menang disebabkan undi penyokong tegar PH, khususnya pengundi Cina DAP, sebaliknya dibantu pengundi atas pagar khususnya orang Melayu dan India.

Jangan menghina pengundi yang bukan penyokong tegar apabila kami menyatakan rasa tidak puas hati dengan pentadbiran PH.

Sikap begini yang menyebabkan kerajaan dahulu ditinggalkan pengundi atas pagar. Gunakan keputusan bancian tersebut untuk memperbaiki diri, bukannya memberi alasan-alasan tidak masuk akal.

Jika benar semua undi tidak puas hati dibuat cybertrooper pembangkang, kenapa bancian Sinar Harian, Otai Bersih dan Kelab Maya Mahathir yang rata-ratanya menjadi tumpuan penyokong kerajaan merekodkan keputusan sama?

Kerajaan perlu ambil iktibar daripada ‘undian kecil’ ini kerana jika diadakan pilihan raya umum baharu dalam masa terdekat, mungkin mereka tidak dapat mengekalkan kuasa.

Rakyat kini sedang memantau prestasi kerajaan dan kepemimpinan PH dan tidak akan ada rasa bersalah sekiranya sekali lagi berlaku perubahan kerajaan.

USAHAWAN MELAYU

Petaling Jaya