Sudah tentu ramai yang tertanya-tanya apakah yang bakal diumumkan kerajaan memandangkan semua pihak telah diberi peluang untuk memberikan saranan dan input masing-masing.

Sebagai rakyat prihatin, kita mesti memberikan cadangan yang membina dan realistik agar bajet seimbang dan mesra rakyat dapat dibentangkan di Parlimen.

Berdasarkan maklum balas yang telah diberikan oleh pelbagai lapisan masyarakat, mereka berharap tiada cukai baharu diperkenalkan dan mahu kadar cukai sedia ada tidak dinaikkan kerana boleh memberi kesan kepada kehidupan orang ramai.

Mereka juga berharap kerajaan memperkenalkan pelbagai insentif dan pelepasan cukai bagi mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Pelepasan cukai untuk isteri perlu ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya RM8,000 manakala pelepasan cukai bagi setiap anak harus dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM5,000.

Pada masa sekarang, pelepasan cukai bagi anak berusia bawah 18 tahun adalah RM2,000 manakala untuk isteri tanpa pendapatan sebanyak RM4,000.

Saya berharap kerajaan mengumumkan langkah-langkah bagi menangani isu-isu lain yang memberi kesan kepada rakyat terutama kenaikan harga makanan dan barangan keperluan, kekurangan rumah mampu milik serta masalah melibatkan pengangkutan awam, pendidikan dan kesihatan.

Ada pihak mendakwa rakyat negara ini tiada masalah berbelanja untuk makanan dan barangan keperluan. Bukti yang diberikan mereka adalah restoran dan pusat beli-belah sentiasa penuh dengan pelanggan.

Walaupun pelbagai pihak telah memberikan hujah masing-masing, kita tidak boleh menolak hakikat bahawa memang terdapat banyak aduan mengenai kenaikan harga yang tidak munasabah sejak kebelakangan ini.

Oleh itu, kerajaan harus membuat kajian menyeluruh tentang kenaikan harga makanan dan barangan keperluan kerana terdapat dakwaan harga beberapa jenis barang basah dan produk lain telah meningkat sebanyak 100 peratus.

Langkah menangani kenaikan harga barangan tidak akan berjaya jika pihak berkuasa hanya bertindak terhadap peniaga kerana peningkatan harga melibatkan semua peringkat iaitu pengeluar atau pembekal, pemborong dan peruncit.

Untuk menangani isu rumah mampu milik, pihak berkuasa harus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan sektor swasta untuk membina lebih banyak kediaman jenis itu. Rumah mampu milik mesti dibina di lokasi strategik dalam bandar kerana di situlah kebanyakan orang bekerja.

Kejayaan kerajaan mewujudkan rangkaian pengangkutan awam lebih bersepadu dan cekap di Lembah Klang harus dicontohi dan dilaksanakan di negeri-negeri lain.

Kemudahan pengangkutan awam moden sahaja tidak memadai jika budaya penyelenggaraan tidak ditingkatkan. Pada masa sama, kempen kesedaran harus diadakan untuk menggalakkan rakyat menghargai dan menjaga kemudahan tersebut.

Begitu jugalah tambang pengangkutan awam termasuk bas pengantara, teksi serta perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grabcar hendaklah ditetapkan pada kadar berpatutan.

Bagi bidang pendidikan dan kesihatan, kerajaan harus mengekalkan subsidi yang diberikan kepada rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Orang ramai juga perlu dididik untuk menabung bagi tujuan pendidikan dan kesihatan terutamanya untuk anak-anak mereka kerana kos kedua-dua bidang itu dijangka meningkat pada masa depan.

Saya turut berharap kerajaan mengurangkan atau menghapuskan duti import bagi peralatan perlindungan diri seperti topi keledar keselamatan dan pelindung mata untuk membantu mengurangkan harga barangan itu.

Dalam merangka Bajet 2018, pemimpin kita harus merasakan denyut nadi rakyat dan mengambil kira tekanan yang dihadapi orang ramai akibat kos hidup yang semakin meningkat.

TAN SRI LEE LAM THYE

Kuala Lumpur