Pengusaha bas sekolah yang bertopengkan logo-logo korporat ini biasanya memberikan jolokan perkhidmatan mereka dengan panggilan ‘bas korporat’.

Saya sebagai seorang pesara guru pernah berdepan situasi menyewa ‘bas korporat’ ini bagi membawa rombongan kampung pada April lalu ke Cameron Highlands.

Maklumat ini saya terima daripada salah seorang anggota penguat kuasa yang telah menahan bas kami sewaktu melakukan perjalanan tersebut. Maka di atas pengalaman ini, saya memohon pihak sekolah membuat pilihan bijak sebelum menyewa ‘bas korporat’.

Modus operandi perniagaan yang dijalankan ini biasanya dengan mudah menyakinkan bakal penyewa bahawa bas mereka sudah diberikan surat kebenaran menggunakan warna dan logo entiti korporat terbabit kerana ada ikatan kontrak membawa pelajar tetapi sebenarnya semua ini tipu belaka.

Surat-surat kebenaran tersebut sebenarnya dibeli dengan harga sekitar RM5,000 hingga RM7,000 daripada sindiket penipuan yang licik membuat kontrak palsu.

Pengusaha bas sekolah ini akan berbangga kerana bas-bas sekolah mereka yang sudah berusia kini tidak berwarna kuning dan bebas menggunakan warna apa sekali pun seolah-olah seperti bas pelancong.

Pihak sekolah, orang kampung dan kilang mudah tertipu dengan lakonan pengusaha bas sekolah sebegini. Kebanyakan bas sekolah seperti yang terlibat sudah berusia 15 tahun ke atas dan hanya layak membuat perjalanan 300 kilometer sahaja.

Namun, apa yang berlaku biasanya bas tersebut akan jalan terus tanpa rasa takut pada undang-undang yang ditetapkan.

Tiada lesen perubahan sementara atau kebenaran daripada pihak berwajib untuk melakukan perjalanan keluar daerah mahupun negeri.

Jika berlaku perkara yang tidak diingini, maka penumpang bas akan ‘mati katak’ kerana pihak insurans tidak melindungi perjalanan bas tersebut.

Dengan mengenakan harga sewaan yang agak murah sedikit daripada bas-bas pelancong, nyawa penumpang jadi taruhan.

Seharusnya pihak penyewa bas bijak menilai apa yang mereka dapat sekiranya sesuatu perkara tidak diingini berlaku.

PESARA CIKGU PRIHATIN

Pahang