Pada suatu hari, seorang pelajar muda yang sering mendiamkan diri sepanjang kuliah membangkitkan keberanian dalam kelas untuk bertanya satu soalan mudah: “Bagaimanakah seseorang itu dikatakan memperolehi kebijaksanaan?”

Sudah pasti saya terkejut dan tidak tahu apa yang hendak dikatakan dan cuba menjelaskan bahawa buat masa ini saya tidak dapat memberikan jawapan kepada soalannya.

Anak muda itu terus merenung saya dengan tajam dan berkata; “Encik selalunya akan mampu menjawab semua soalan dan perbincangan dan kami sering terlopong dengan maklum balas yang diberikan, tetapi encik tidak boleh menjawab soalan mudah tentang bagaimana seseorang memperolehi kebijaksanaan?”

Keesokan harinya, saya bertemu lagi dengan anak muda tersebut dan berkata; “Maaf dari saya kerana tidak dapat menjawab soalan anda semalam adalah kerana saya tidak memberi masa untuk memikirkannya, jika tidak jawapannya adalah mudah.

‘‘Anda mendapat kebijaksanaan melalui introspeksi (proses penilaian diri (fikiran, idea, perasaan) dengan mendalam).

‘‘Malah, inilah satu-satunya cara untuk mendapatkan kebijaksanaan.’’

Anak muda tersebut berkata; “Adakah encik pasti? Jika kita dapat memperolehi kebijaksanaan dengan berfikir sendiri, maka mengapa kami harus menghadiri dan mengambil kelas falsafah ini?’’

Saya terdiam dengan kenyataan dan mengangguk, betul juga kata beliau.

“Terima kasih kerana memberi pandangan dan pelajaran penting: Anda juga boleh mendapatkan kebijaksanaan dari orang lain.”

Anak muda itu tersenyum bangga sambil berkata; “Jika begitu, saya tahu jauh lebih daripada encik, biar saya pula yang mengambil kelas ini kerana tidak ada lagi yang dapat encik ajar kami.’’

Saya kemudian bertanya, “Betulkah awak nak menggantikan saya untuk subjek ini? Saya baru hendak berkongsi perkara ketiga untuk memperolehi kebijaksanaan. Tetapi saya rasa anda boleh memberitahu kami.’’

Anak muda itu tertunduk seakan menyesali lalu berkata; “Saya tidak tahu...” Selepas beberapa ketika, dia bertanya, “Apakah perkara ketiga itu?”

“Anda boleh mendapatkan kebijaksanaan dari pengalaman. Pengalaman tidak dapat memberi jawapan ketika sesi soal jawab kerana agak tidak bersedia mengajar saya kerendahan hati. Saya harap ia mengajar perkara yang sama kepada anda juga.’’

AZIZI AHMAD

Kuala Lumpur