Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas maklumat yang diberikan. Sukacita dimaklumkan bahawa pihak pengurusan kampus telah mengarahkan lima gerai makanan sedia ada untuk beroperasi sepenuhnya dan memperbanyakkan lagi jumlah menu.

Selain itu, pihak pengurusan kampus juga telah meluluskan pemasangan mesin layan diri di enam lokasi sekitar kawasan kampus. Empat lagi ruang niaga baharu yang akan diusahakan oleh persatuan pelajar juga telah diluluskan bagi menambah pilihan untuk warga kampus.

Pihak universiti juga sedang menjalankan perbincangan dengan pengusaha pasar malam bagi menambah kekerapan kepada dua kali seminggu di kawasan berhampiran kampus tersebut.

Bagi memastikan capaian jaringan internet yang lebih laju dan responsif di kampus UiTM Rembau, pihak pengurusan kini di peringkat akhir pemasangan pencawang sementara yang dijangka akan mula beroperasi pada 1 Februari 2018 sementara menunggu pembinaan pencawang tetap.

Kekurangan infrastruktur internet dan telekomunikasi yang dihadapi oleh warga kampus ini turut dialami di kawasan setempat yang berhampiran khususnya di mukim Pilin dan mukim Kundur.

Sebuah mesin juruwang automatik (ATM) Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pula dijangka mula beroperasi pada 18 Januari 2018. Pihak universiti sentiasa prihatin dan mengambil langkah-langkah proaktif dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan warganya.

Pihak pengurusan mengalu-alukan sebarang komen atau cadangan dalam usaha untuk menambah baik mutu perkhidmatan di kampus ini secara khususnya dan UiTM secara amnya.

PROF. DR NASRUDIN MOHAMED

Rektor UiTM Cawangan 
Negeri Sembilan