Ini bukanlah insiden kali pertama berlaku sejak Malaysia mengubah sektor asas ekonominya daripada pertanian kepada perindustrian pada 1984.

Sejak bencana itu berlaku, kerajaan telah bertindak proaktif dengan mewujudkan pusat gerakan bencana untuk menyelaras gerak kerja pengurusan bencana.

Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kimia Malaysia dan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) telah dikerah dalam mengenalpasti bahan pencemar dan membuat pemantauan kualiti udara di sekitar Pasir Gudang.

Walaupun tindakan kerajaan cukup baik, satu masalah yang saya lihat perlu ditangani dengan lebih berkesan adalah berita-berita palsu yang tersebar dalam media sosial serta laporan melampau media massa yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

Hal ini memberikan isyarat jelas kepada kita untuk menilai semula prosedur operasi standard (SOP) pengurusan bencana.

Aspek penting yang perlu diambil kira adalah dari segi menyelaras sumber-sumber berita daripada pihak berkuasa.

Kita lihat pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi-agensi terlibat kadang kala terdapat percanggahan.

Pengumuman mengenai bahan-bahan pencemar yang dikesan perlulah dilakukan dengan teliti.

Ketika bencana, penggunaan alat pengesan gas beracun boleh digunakan di lapangan tetapi perlu juga disahkan melalui keputusan analisa makmal supaya laporan yang diumumkan kepada rakyat diyakini kredibilitinya.

Hakikatnya, negara kita masih belum ada SOP lengkap dalam menghadapi pencemaran kimia, biologi dan radiologi.

Maka, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) harus diberi tanggungjawab untuk menggubal SOP sedemikian.

Nadma juga perlu menubuhkan majlis penasihat bagi menasihati kerajaan mengenai pengurusan kesan kimia, biologi dan radiologi.

Dengan mengambil konsep serupa di Amerika Syarikat (AS), majlis ini akan menyediakan pelan tindakan pengurusan bencana yang .

Ini meliputi aspek mengenal pasti bahan pencemar, persampelan, ujian makmal, pemantauan kualiti alam sekitar yang berterusan, pengawasan perubatan kepada mangsa yang terdedah kepada pencemaran, pembersihan dan pengurusan sisa bahan pencemar.

Buat masa ini, kita lebih tertumpu kepada pengurusan bencana seperti banjir dan jerebu. Anggaplah bencana Sungai Kim Kim ini sebagai percubaan dalam menyelaras pengurusan bencana akibat pencemaran kimia.

Saya juga kagum dengan langkah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang berusaha keras dalam menangani bencana ini.

Pengumuman kementerian untuk meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 disambut baik oleh semua.

Sumbang saran oleh pemegang taruh dan pakar akademik amat ditagih dalam menggubal akta baharu ini agar ia menjadi ‘senjata’ kuat untuk membela nasib alam sekitar.

Harus diingat, undang-undang sahaja tidak mampu untuk mencegah daripada insiden ini berulang.

JAS harus mempersiapkan pegawainya untuk membuat pemantauan yang kerap serta bertindak terhadap laporan-laporan pencemaran serta membuat pemeriksaan susulan.

ABDUL QAIYUM MUSA
ALS Technichem (M) Sdn. Bhd.