Hasil siasatan, terbukti mereka yang terlibat bukannya anggota polis sebaliknya tiga beradik termasuk seorang pegawai imigresen di Putrajaya.

Walaupun tidak menyokong tindakan fizikal khususnya pergaduhan, saya percaya kejadian itu berpunca daripada sikap samseng penarik kereta yang memang sudah terkenal di seluruh negara.

Bukan mahu menyebelahi pihak yang tidak membayar hutang bank tetapi sikap samseng penarik kereta cuba ‘merampas’ kenderaan tanpa surat arahan mahkamah jelas melanggar undang-undang.

Namun, saya pelik kenapa polis tidak menahan penarik kereta berkenaan sedangkan sudah berulang kali didedahkan mereka tidak mengikut prosedur perundangan ketika mahu menarik kenderaan ‘bagi pihak bank’.

Apa yang dilakukan ‘pengusaha’ penarik kereta ini sebenarnya ‘mencuri’ kereta orang awam kemudian menyerahkannya kepada bank untuk mendapatkan ganjaran, tidak ubah seperti bounty hunter memburu penjenayah untuk diserahkan kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, menarik kereta tidak sama dengan menahan atau menangkap penjenayah yang dikehendaki pihak berkuasa. Perlu ada prosedur dan langkah-langkah dipatuhi bagi mengelakkan pengguna tertipu oleh golongan yang tiada kuasa atau menyamar.

Saya sedih pihak berwajib tidak kira polis, kementerian malah menteri sendiri mengabaikan isu ini. Memang silap individu yang tidak membayar hutang bank tetapi adakah mereka tidak perlu dilindungi daripada samseng, penipu dan pencuri kereta?

Sedangkan golongan muflis kerana hutang kad kredit juga dibantu kenapa mereka yang gagal melangsaikan hutang kereta ini tidak diberi bantuan? Atau mungkin pihak berwajib ini ada ‘saham’ dengan syarikat penarik kereta?

Saya paling tidak suka pendekatan ala samseng digunakan dalam apa jua keadaan tetapi sangat menyedihkan apabila pihak berkuasa membiarkan aktiviti ini terus berleluasa. Sampai bila keadaan ini akan dibiar berterusan?

ARIF HISHAM

Ampang