Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan tiada saman AES akan dikenakan antara 17 dan 31 Ogos lalu sementara sistem itu diambil alih oleh JPJ.

Ini jelas menunjukkan pemandu di negara ini gemar melanggar had laju di jalan raya apatah lagi ‘membalas dendam’ terpaksa ‘menyiput’ ketika berdepan kamera AES selama ini.

Walaupun 15,000 saman itu dikira ‘hangus’, bermula 1 September lalu AES sudah kembali beroperasi dan kali ini diharap JPJ tidak lagi berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang memandu melulu dan melangkaui had laju.

Pada masa sama, saya harap Menteri Pengangkutan menambah kamera AES di Pulau Pinang kerana terlalu banyak kenderaan dipandu melulu lebih-lebih lagi ‘wabak’ baharu memandu melawan arus.

Umpama sudah menjadi trend apabila ada lagi pemandu mabuk memandu melawan arus tetapi seperti kes-kes lama saya percaya dia hanya akan dikenakan denda kecil sahaja.

Selain menambah kamera AES, tambah juga hukuman khususnya penjara dan sebatan atas dakwaan cubaan membunuh dengan memandu melawan arus. Jika sekadar denda, tiada guna ada kamera atau peraturan jalan raya.

MAMU

Pulau Pinang