Maszlee berkata, sudah sampai masa ucapan berjela-jela, leteran panjang dan aktiviti perhimpunan bersifat sehala diubah serta-merta.

Inilah senario kebanyakan perhimpunan sekolah pada masa kini. Perhimpunan secara konvensional ini perlu diubah selari program penjenamaan pembelajaran abad ke-21.

Walaupun ada pendapat kurang bersetuju dengan dakwaan mengatakan perhimpunan merupakan tempat leteran kerana pihak sekolah menganggap ia adalah platform untuk memberi nasihat dan teguran kepada pelajar. Ya benar, perkara ini tidak dinafikan, namun begitu jika perhimpunan secara konvensional masih diteruskan, dikhuatiri lama-kelamaan perhimpunan menjadi tempat yang tidak disukai oleh pelajar, tidak menyeronokkan dan mereka hilang fokus.

M10MP yang bakal dilaksanakan memberi fokus kepada amalan dan penghayatan nilai di samping mencetuskan budaya berfikir selari dengan evolusi perhimpunan sekolah alaf baharu yang bersesuaian dengan keperluan dan hasrat kementerian untuk mencapai kemenjadian murid daripada pelbagai kemahiran.

Sebanyak 42 aktiviti merentas subjek dan tahap persekolahan dibangunkan untuk dilaksanakan oleh pihak pentadbiran sekolah mengikut tema yang boleh disesuaikan dalam tempoh 10 minit. Situasi ini dilihat sebagai pencetus dalam mewujudkan elemen keseronokan kepada murid.

Semoga M10MP akan menjadi set aktiviti unpack curriculum yang mampu menerapkan nilai murni, memberi peluang kepada pelajar mengembangkan potensi diri, menjadi pemikir, mengaplikasikan dan mencipta sesuatu inovasi melalui tugasan berasaskan projek.

SYAMSYUL SAMSUDIN

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi 
Mara (UiTM) Johor