Namun begitu, bagi Pengerusi Jawatankuasa Bantahan, Rayuan dan Disiplin Parti, DR. SYED HUSIN ALI, beliau yakin tidak wujud perpecahan dalam parti itu akibat persaingan sengit antara kedua-dua tokoh itu sepertimana yang pernah berlaku dalam sejarah parti politik di negara ini.
Semasa diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan SAHIDAN JAAFAR serta jurufoto  Hafiz Johari di Petaling Jaya, Rabu lalu beliau yakin pemilihan jawatan kedua tertinggi dalam PKR merupakan satu persaingan yang sihat dan proses yang baik ke arah menyuburkan demokrasi sekali gus memperkasakan parti.
“Tapi saya tidak percaya, akan timbul perpecahan (dalam PKR),” katanya kepada Mingguan Malaysia.

 

MINGGUAN: Bagaimana Dr. melihat proses pemilihan PKR sebagai sebuah parti yang baru menang pilihan raya. Adakah ini satu proses yang baik untuk proses demokrasi?
SYED HUSIN:
Bagi saya pemilihan dalam Keadilan ini merupakan satu proses demokrasi yang baik dan persaingan ini agak sihat.
Bagi saya, persaingan ini akan lebih menghidupkan kedua-dua golongan yang bakal bertanding. Situasi ini juga secara tidak langsung akan menghidupkan dan memperkasakan parti ke arah yang lebih baik.

Mungkin ramai yang di luar sana melihat PKR mungkin berpecah akibat pemilihan ini. Sebab gelombang yang wujud akibat bahang persaingan antara Azmin dan Rafizi untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PKR terlalu kuat.
SYED HUSIN:
Memang gelombang persaingan itu agak sengit. Semakin dekat pemilihannya semakin sengitlah. Tapi saya tidak percaya akan wujud perpecahan. Ini satu fasa yang mengakibatkan keadaan agak tegang.
Dan kalau dikatakan yang kalah nak keluar  parti atau yang menang cuba mengesampingkan yang kalah, saya rasa dan berharap perkara ini tidak akan berlaku.

Bagaimana  dengan kewujudan kem-kem bagi merebut pelbagai jawatan dalam parti?
SYED HUSIN:
Kem ini dalam parti politik sentiasa ada. Bahkan yang lebih teruk ada collage-collage tertentu. Persaingan dalam kem itu jika dapat dikawal itu suatu perkara yang baik. Sekarang ini saya lihat (situasi dalam parti) masih terkawal.

Bagaimana dengan pemilihan jawatan yang lain dalam PKR seperti Ketua Pemuda, Wanita dan Naib Presiden?
SYED HUSIN:
Selain Pemuda antara ketuanya dan Wanita, ada juga sedikit sebanyak persaingan dalam peringkat jawatan Naib Presiden. Tetapi tidaklah sekuat (sengit) persaingan dalam jawatan Timbalan Presiden.  

Bila kita menyentuh soal PKR  ialah sokongan orang muda terhadap parti yang menjadi pewaris. Mereka ini ada idea dan karisma tersendiri untuk dibawa.
SYED HUSIN: 
Tentang golongan orang muda ini ada dua jenis (kategori). Pertama golongan ini tidak peduli tentang politik. Golongan kedua, yang merasakan mereka mesti terlibat dengan politik. Ada pula golongan pertengahan yang neutral.
Bagi golongan muda yang tidak minat politik  mereka merasakan orang politik tidak bersih. Mereka merasakan jika mereka ikut jalan itu (politik), imej mereka akan terjejas.
Keduanya, di peringkat universiti pun tidak digalakkan pemikiran kritikal dan penyertaan mendalam. Jika di universiti dan peringkat menengah atas sudah didedahkan pelbagai pandangan  bertentangan ini akan menimbul minat mereka dalam politik. Di sini peranan media penting.
Kalau media massa misalnya boleh berperanan dan memberi alternatif sesuatu berita selain analisis dan memberi pandangan yang analitikal. Kita memang mengalu-alukan penglibatan orang muda.

Melalui sokongan orang muda juga PKR bersama Pakatan Harapan (PH) berjaya mengubah kerajaan dan pemerintahan BN selama 61 tahun. Komen Dr.?
SYED HUSIN:
Sebelum ini ada pandangan yang mengatakan bahawa orang muda tidak lagi menyokong pembangkang (Pakatan Harapan). Apa sebenarnya berlaku adalah sebaliknya.
Golongan muda didapati tidak lagi menyokong kerajaan (semasa pemerintahan BN) tetapi menyokong pembangkang. Buktinya, sokongan padu orang muda dalam PRU-14 lalu jelas memberikan keputusan yang baik dan memihak kepada pembangkang.

 

Jika kita melihat pelapis dalam PKR seperti  Nurul Izzah Anwar, Rafizi, Tian Chua mereka ini mampu menjadi faktor penarik orang muda dan semua kaum. Komen Dr. ?
SYED HUSIN: 
Betul tu. Jika dibandingkan, orang Cina lebih tertarik kepada DAP tapi ada yang suka PKR. Memang tarikan kita melibatkan golongan pelbagai kaum, tidak hanya Melayu. Misalannya dari segi keanggotaan parti kira-kira 55 peratus anggota orang Melayu, 25 peratus India dan 20 peratus Cina.
PKR merupakan satu contoh parti berbilang kaum. Jika kita memetik kenyataan pemimpin UMNO yang keluar parti baru-baru ini mereka ada menyebut tidak dapat menerima tentang politik agama dan kaum yang sempit. Malah, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sendiri ada menyebut tidak suka dengan politik sempit dan Malay centric.
Jika mengamalkan politik terlalu sempit selalu akan melibatkan penentangan. Pandangan keterlaluan terhadap kaum lain akan menyebabkan ketegangan kaum. Apabila berlaku ketegangan kaum, cita-cita hari merdeka untuk mewujudkan satu kaum yang bersatu padu dan adil tidak akan tercapai.
Kalau teruk sangat boleh mencetuskan pergaduhan (antara kaum). Hancur dan tidak menguntungkan sesiapa pun. Orang tidak bersalah akan menjadi mangsa.

 

Baru-baru ini PKR mengambil tindakan ke atas beberapa individu yang terlibat dalam korupsi dan salah laku. Parti ini dilihat cepat bertindak sebelum ia menjadi barah merosakkan parti. Komen Dr.?
SYED HUSIN: 
  Ya. Tindakan terpaksa dilakukan ke atas mereka kalau didapati bersalah (terlibat rasuah). Tapi saya mesti akui unsur-unsur korupsi itu sedikit sebanyak ada juga meresap (dalam kalangan anggota parti). Jadi kita harap dapat ambil tindakan dari awal supaya barah itu tidak menjadi lebih serius.   


Pandangan Dr. mengenai Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober ini. Apakah ia dilihat permulaan proses peralihan kuasa?
SYED HUSIN:
   Pertama sekali ada berita-berita mengatakan kononnya ini adalah seperti ‘Langkah Kajang’ dan digerakkan oleh orang yang sama (Rafizi). Saya rasa ini tak betullah.
Keputusan yang diambil bukan tindakan oleh satu orang tapi satu jawatankuasa. Keduanya, ada yang mengatakan tiada perbincangan (memilih Parlimen Port Dickson).
Sebenarnya ada perbincangan. Biro politik ada membincangkan. Mereka yang mengatakan tiada perbincangan itu sebenar tidak datang mesyuarat. Ada yang tak datang sebab berada di luar negara. Tapi ada yang patut hadir tetapi tidak datang.
Selain dari Parlimen Selayang dan Parlimen Sungai Petani, Datuk Danyal Balagopal Abdullah sendiri tawar kerusi Port Dickson untuk Anwar. Mengapa beliau pilih Port Dickson barangkali salah satu sebabnya mungkin kawasan itu seimbang dalam komposi kaum iaitu Melayu 47%, India (30%) dan Cina (23%).
Tentang mengapa tidak suruh Nurul Izzah mengosongkan Parlimen Permatang Pauh dan Wan Azizah di Parlimen Pandan? Ada yang mengatakan ini nepotisme. Saya bersetuju dengan hujah Nurul Izzah dan Wan Azizah bahawa ini bukan soal nepotisme kerana ini kuasa rakyat yang menentukan (kemenangan sebagai Ahli Parlimen).
Kalau Anwar sendiri yang menentukan barulah itu dikatakan nepotisme. Ertinya dengan kuasa dia  dan kebetulan Izzah tiada kelayakan bertanding, itu nepotisme.Tetapi unsur-unsur itu tidak ada. Masuknya, Nurul Izah dan Wan Azizah dalam kancah politik kerana mengisi perjuangan dan pengorbanan mereka terhadap Anwar semasa di penjara. Rakyat  hendakkan mereka.
Tiada siapa yang sanggup memimpin parti (Keadilan) melainkan Wan Azizah. Orang yang tidak kenal, anggap Wan Azizah lembik, tetapi kalau sesiapa yang rapat dengan beliau dapat merasakan betapa beliau  tegas orangnya. Saya kenal dah lama, beliau (Wan Azizah) sangat matang dalam berpolitik.