Pada 24 Mac 2011, semasa persidangan UNHRC, OIC memperkenalkan Resolusi 16/18. Resolusi tersebut telah disusun, kemudian disemak dan dipinda supaya lebih mudah diterima oleh lebih banyak negara. Resolusi 16/18 telah mengelakkan perkataan ‘fitnah’ sebalik­nya menyeru untuk “berjuang menentang sikap tidak bertoleransi, tanggapan stereotaip yang negatif, pengaiban, diskriminasi, hasutan untuk melakukan keganasan, dan keganasan terhadap seseorang atas sebab agama atau pegangan iman mereka”.

Resolusi ini nampaknya seolah-olah melindungi hak individu, dan bukannya sesuatu agama. Taktik OIC menghasilkan kejayaan. Resolusi tersebut, walaupun tidak mengikat, telah diterima oleh semua negara.

Apa yang penting ialah langkah mewujudkan ‘Proses’ Istanbul semasa mesyuarat pada Julai 2011 yang telah diusahakan oleh Ekmeleddin Ihsanoglu, Setiausaha Agung OIC ketika itu, dengan bantuan Hillary Clinton dan Catherine Ashton selaku Wakil Luar Kesatuan Eropah (EU).

Bagi Ihsanoglu, ‘Proses’ tersebut bertujuan melaksanakan Resolusi 16/18, yang dianggapnya bukanlah suatu matlamat tetapi langkah mencapai sesuatu matlamat. Beliau sangat bimbang tentang trend Islamofobia yang kian berleluasa dan peningkatan sifat tidak bertoleransi dan diskriminasi terhadap penganut Islam. Bagi OIC, undang-undang antarabangsa yang mencegah penghujatan (blasphemy) diperlukan.

Semasa mesyuarat di Istanbul itu, Clinton memuji OIC dan EU atas peranan meluluskan Resolusi 16/18. Beliau menganggapnya sebagai permulaan usaha mengatasi “jurang palsu yang melagakan sensitiviti agama dengan kebebasan bersuara”. Beliau juga mengatakan bahawa Resolusi 16/18 dimaksudkan untuk “menegah diskriminasi, cercaan, dan jenayah kebencian, bukannya untuk mengharamkan kebebasan bersuara kecuali terdapat hasutan untuk melakukan keganasan.”

Meskipun niat Clinton itu harus dipuji, namun jelas beliau masih tidak memahami matlamat OIC, yang menyeru “kesedaran global tentang implikasi kebangkitan Islamofobia yang berbahaya terhadap keamanan dan keselamatan dunia”. Pihak OIC meminta negara-negara “menggalakkan sikap menghormati semua agama dan nilai budaya, dan mencegah sikap tidak bertoleransi, diskriminasi dan mengapi-apikan kebencian terhadap mana-mana kumpulan atau penganut mana-mana agama”.

Hakikatnya, masih wujud percanggahan antara sesetengah prinsip dan pegangan yang didukung OIC dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948.

OIC juga menggunakan dua dokumen lain. Pertama, Deklarasi Islam Sejagat Bagi Hak Asasi Manusia OIC 19 September 1981 yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Kedua, Deklarasi Hak Asasi Manusia Islam Kaherah yang diterima pakai pada 5 Ogos 1990 oleh Persidangan Islam Menteri-menteri Luar OIC Ke-19. Fasal penting ialah Perkara 24: “Semua hak dan kebebasan yang disebutkan di dalam Perisytiharan tersebut tertakluk kepada Syariah Islam”.

Pada zahirnya, ini seolah-olah meminggirkan perlindungan hak kebebasan bersuara dan beragama di negara-negara bukan Islam. Nampaknya keadaan ini melanggar Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika Syarikat dan juga Perjanjian Hak Sivil Dan Politik Antarabangsa atau ICCPR (Perkara 19) yang diperkenalkan pada Disember 1966, yang mengisytiharkan bahawa “setiap orang ada hak bersuara”. Sungguhpun begitu, penyampaian yang berhemah diperlukan untuk membolehkan negara-negara Islam membuktikan pendirian Islam, iaitu kebebasan bersuara akan dibendung hanya apabila kegagalan membendungnya akan memudaratkan usaha menegakkan kebenaran.

Sebagai susulan empat mesyuarat konstruktif sebelumnya, Mesyuarat Proses Istanbul kelima diadakan di Ibu Pejabat OIC di Jeddah, Arab Saudi, dari 3 hingga 4 Jun 2015, untuk membincangkan pelaksanaan Resolusi UN HRC 16/18 secara menyeluruh dan berkesan. Mesyuarat tersebut, yang diha­diri ramai pemegang kepentingan, mengesahkan nilai Resolusi HRC 16/18 sebagai pencapaian mercu tanda dalam usaha PBB membanteras hasutan benci-membenci, diskriminasi, stig­­­ma, dan keganasan berdasarkan agama atau pegangan iman, serta menyeru usaha yang komprehensif untuk memelihara persetujuan antarabangsa mengenai dokumen penting ini.

Malaysia juga berdepan dengan tugas yang amat sukar ini, iaitu melindungi kebebasan beragama dan bersuara, tanpa mengetepikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan kita, yang bertunjangkan agama Islam, budaya, sejarah dan realiti Malaysia. Resolusi 16/18 dan Proses Istanbul, jika dilaksanakan dengan betul, boleh membuka landasan kemajuan yang positif bagi masalah-masalah yang nyata ditanggung banyak negara.

Namun, mesti ada imbangan antara tugas melaksanakan rancangan tindakan yang dipersetujui dalam Resolusi 16/18, dengan tanggungjawab melindungi dan me­laksanakan kebebasan beragama dan bersuara. Prinsip mengehadkan kebebasan bersuara atas sebab melindungi keamanan, kesejahteraan antara agama perlu menjadi landasan utama perlaksanaan Resolusi 16/18.

Untuk menjayakannya, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) mencadangkan pendekatan-pendekatan berikut:

 Kerajaan Malaysia mestilah terus menggalakkan dan menyertai dialog global pada peringkat ASEAN, OIC, PBB dan sebagainya, dan mestilah mengetengahkan kedudukan Malaysia yang sebenar me­ngenai amalan keagamaan dan Hak Asasi Manusia dengan cara yang berkesan dan bermaruah. Malaysia telah meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, sambil mengakui hak pengikut agama-agama lain untuk beribadat mengikut agama masing-masing dengan aman dan tenteram. Pendirian ini perlu dikhususkan lagi sejajar dengan visi Perdana Menteri dan seiring dengan usaha gigih beliau mempromosikan pendekatan ‘wasatiyyah’ (kesederhanaan);

 CENTHRA mengesyorkan pro­­ses pengantaraan (mediation) sebagai salah satu cara melaksanakan kandungan Resolusi 16/18. Misalnya, prosedur Penyelesaian Konflik, Pengantaraan, dan sebagainya boleh diambil daripada kaedah-kaedah yang sudah pun diperhalusi oleh Barat, dan kemudian pilihan alternatif Islam juga boleh dikemukakan, misalnya Sulh, dan sebagainya;

 Para penjawat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim, iaitu suatu sumber penting bagi soko­ngan dan pentadbiran agama Islam, mestilah diperkasa untuk benar-benar memahami peranan Islam dalam masyarakat majmuk pada zaman ini dan memahami hak asasi manusia, termasuklah mekanisme yang berkaitan dengan PBB. Sebagai contoh, perdebatan tentang isu murtad mestilah diletakkan ke dalam tangan pakar-pakar keagamaan dan sosial yang dihormati, dan dicerakin dengan teliti agar pelaksanaannya dapat memberikan kefahaman sebenar kepada masyarakat bukan Islam.

Jerayawara iaitu, pendekatan hiburan berpendidikan (edutainment) untuk orang awam boleh dianjurkan untuk memperkenalkan kandungan dan implikasi Resolusi 16/18, Proses Istanbul dan kemajuannya dari tahun ke tahun.

Istilah dan konsep Islam yang penting, termasuklah jihad, mestilah dijelaskan secara berhemah kepada pentas debat dan dialog antarabangsa. Pihak kerajaan boleh menganjurkan beberapa sesi untuk memberikan pendapat yang terkini mengenai beberapa aspek agama Islam untuk memahami pelbagai nasihat mengenai hak asasi manusia dan hubungan antara agama.

AZRIL MOHD. AMIN ialah Peguam dan Ketua Eksekutif CENTHRA yang mewakili Malaysia ke Proses Istanbul Mengenai Resolusi 16/18 di Jeddah pada 3-4 Jun 2015.