Sturgeon

  1. Di atas merupakan poster yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Jabatan Perikanan yang menunjukkan beberapa spesies ikan yang dilarang dibawa masuk ke Malaysia.
  2. Namun, kalau kita amati betul-betul, ada dua tiga ikan-ikan yang disenaraikan itu kini semakin bermaharajalela di perairan Malaysia malah sudah mula mendominasi ekosistem perairan negara. 
  3. Malah, ada spesies yang disenaraikan itu yang sering dilepaskan ke dalam tasik dua tiga hari sebelum mana-mana pertandingan memancing air tawar yang dianjurkan di negara ini. Di mana silapnya? 
  4. Dan yang terbaharu ialah, ura-ura untuk membawa masuk ikan sturgeon yang berasal dari kawasan sungai subtropika, iklim sederhana dan sub-Artik untuk dibiakkan di negara ini bagi mendapatkan telurnya yang merupakan antara makanan golongan bangsawan, kaviar. sturgeon
  5. Yang menariknya, usaha itu akan dilakukan oleh sebuah agensi yang berkaitan dengan peneroka dan akan dilakukan berdekatan dengan Taman Negara di Kuala Tahan.
  6. Apa pun, usaha yang dilihat sebagai satu projek perniagaan itu dan akan berkolaborasi dengan syarikat daripada Korea mendapat bantahan daripada pemimpin setempat dan juga penduduk.
  7. Ini disebabkan kata mereka, projek itu kelak bakal memberikan implikasi buruk terhadap ekosistem yang ada di Kuala Tahan malah, penduduk di sekitar kawasan itu juga bakal mendapat tempias, bukan baik, tetapi tempias buruk akibat hasil yang dikeluarkan oleh projek berkenaan.
  8. Projek yang dilancarkan oleh pemimpin tertinggi negara itu dijalankan tanpa melakukan sebarang kajian penaksiran kesan persekitaran (EIA) kawasan berkenaan dan setakat ini ia telah dihentikan.
  9. Namun, kesan-kesan buruk sudah kelihatan antaranya ialah 'pencerobohan' hutan di sekitar kawasan itu bagi membolehkan projek itu dimulakan. sturgeon
  10. Menurut penduduk, apa yang mereka runsingkan ialah, adakah ikan-ikan yang bakal dibawa masuk ke Malaysia itu tidak akan merosakkan ekosistem yang ada dan mampukah ikan-ikan tempatan termasuk temoleh, kelah, sebarau, tengas bertahan jika ikan-ikan itu terlepas ke saliran perairan negara?
  11. Selain itu, penduduk juga turut risau dengan hasil yang bakal 'dibuang' oleh ikan-ikan sturgeon yang pastinya akan hadir dalan jumlah yang banyak, adakah hasil buangan itu tidak mencemarkan air minuman yang puncanya hanya terletak kira-kira 2.3 kilometer daripada paip Jabatan Pengairan dan Saliran Pahang.
  12. Semua ini menjadi tanda tanya mereka, malah ada yang menyuarakan bantahan dengan kenyataan projek itu di mana bakal menarik lebih ramai pelancong sekitar 500,000 hingga 600,000 setahun yang mampu merosakkan ekopelancongan yang ada di situ. 
  13. Bukan tidak mahukan keuntungan namun, kelestarian kawasan itu perlu juga dijaga. Kata mereka, Kuala Tahan dibangunkan bukan setahun dua, tapi memakan masa yang amat lama, adakah hanya sekelip mata mahu dimusnahkan? sturgeon
  14. Jika projek itu menguntungkan kata mereka, bawalah ke tempat lain yang lebih bersesuaian agar kawasan hutan hujan tropika yang tertua di dunia berusia lebih 130 juta tahun itu kekal terpelihara tanpa sebarang gangguan dan ancaman dariapda pihak luar.
  15. Apa yang pasti, pihak Jabatan Perikanan negeri sudah mengeluarkan arahan agar ikan berkenaan tidak dibawa masuk namun dikatakan ada arahan 'tegas' daripada ibu pejabat di Putrajaya yang memberikan 'kelonggaran' bagi projek berkenaan.
  16. Adakah Jabatan Perikanan sudah hilang taring?

Yu Paus

  1. Tinggalkan kisah sturgeon di Kuala Tahan, kita meronda ke Tanjung Gemok pula. Juga di Pahang. Kali ini, sebuah jeti perikanan persendirian di Endau, Johor yang terletak bersebelahan Tanjung Gemok menjadi tumpuan bukan kerana ikan-ikan biasa yang didaratkan namun disebabkan seekor ikan yu paus (Rhincodon typus) yang dinaikkan sebuah bot nelayan.
  2. Yu paus sebenarnya disenaraikan sebagai sepsies terancam di bawah Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan yang Terancam) 1999. Sabit kesalahan kerana menangkap spesies berkenaan boleh denda RM20,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali, manakala di peringkat antarabangsa pula, yu paus turut disenaraikan dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam (IUCN) 2000, sebagai spesies diancam kepupusan. perikanan
  3. Namun, sebelum ini, ikan berkenaan agak banyak dinaikkan oleh nelayan negara ini dengan alasan, tersangkut di jaring dan akhirnya ia ditunda ke jeti. yu paus
  4. Menariknya, selepas dinaikkan ke jeti, ikan ini dilapah dan yang paling utama ialah siripnya akan dijual kepada mereka yang gemar memakan sup sirip ikan yu. yu paus
  5. Untuk pengetahuan, yu paus bersaiz besar yang ditangkap hidup-hidup mampu dijual pada lingkungan harga AS$31,000 (RM103,183) di jeti dan yang paling utama siripnya juga boleh dijual dengan harga mencecah ribuan ringgit. 
  6. Kejadian yu paus dibawa naik sudah lama dan kejadian terbaharu di Endau itu sepatutnya sudah memberikan pengajaran kepada Jabatan Perikanan untuk meneliti masalah ini. 
  7. Ironinya, dalam minggu yang sama kejadian itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut melancarkan kempen 'Tak Nak Sirip Ikan Yu' sambil mengatakan aktiviti 'shark-finning' atau perbuatan mengambil sirip ikan yu, manakala bahagian badan lain dibuang tidak pernah dijalankan di negara ini. sirip
  8. Agak pelik. Apakah pak menteri tidak mendapat laporan daripada Jabatan Perikanan walaupun Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) jabatan berkenaan, Datuk Ismail Abu Hassan hadir sama pada program itu.
  9. Kejadian ini bukan baru berlaku, ia telah lama dan berulang kali berlaku dalam kalangan nelayan yang membawa naik spesies terancam itu. 
  10. Malah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut pernah menegur (lihat sini) agar kerajaan menasihatkan nelayan untuk tidak menangkap ikan itu.
  11. Pernahkan Jabatan Perikanan terfikir bahawa industri menyelam skuba yang berkaitan dengan yu paus itu bernilai AS$47.5 juta (RM158.46 juta) di seluruh dunia dan Malaysia merupakan antara destinasi tumpuan penyelam skuba dunia dan tempatan untuk menyelam bersama-sama yu paus?
  12. Apa akan terjadi jika yu paus pupus dari perairan negara kita? Apa akan terjadi kepada punca pendapatan industri menyelam skuba di sini? Bagi penyelam skuba, mereka akan mula 'melarikan' diri (lihat sini) ke kawasan yang masih terdapat spesies itu terutama di Australia dan juga Indonesia.
  13. Lebih memburukkan keadaan, kes yang terjadi di jeti persendirian Endau itu sukar diambil tindakan oleh Jabatan Perikanan kerana menurut sumber yang saya peroleh, bukti tiada selepas tersebarnya gambar-gambar ikan berkenaan dinaikkan. 
  14. Dan untuk menambah duka, kejadian itu tidak terhenti di situ sahaja. Di Teluk Marudu, Sabah, seekor lagu yu paus ditangkap nelayan dan ditunda ke Kampung Teritipan seperti yang dilaporkan oleh akhbar Daily Express (lihat sini) sekitar minggu itu juga. yu paus
  15. Apa yang menyedihkan, insiden yang berjaya dilaporkan akhbar berkenaan dilihat gagal diambil tindakan oleh Jabatan Perikanan, sekali lagi - mungkin sebab bukti dah tiada lagi - dan daging ikan itu dihantar ke kilang memproses baja ikan di Tuaran manakala sirp-sirip ikan itu disimpan oleh penduduk untuk dijual.
    yu pausyu paus
  16. Kali ini, betul-betul hari bagi yu paus kerana insiden di Endau dan Teluk Marudu itu tidak berhenti di situ. Selang beberapa hari, penduduk Kampung Pukat Tanjung Batu, Tawau, gempar (lihat sini) kerana jaring mereka turut tersangkut ikan yu paus. 
  17. Namun, penduduk di sini mempunyai pemikiran yang lebih baik berbanding dua lokasi awal tadi selepas ikan sepanjang 3.6 meter itu diusahakan untuk dilepaskan ke laut semula. yu paus
  18. Jadi, apa alasan Jabatan Perikanan kali ini. Masih menunggu di atas kerusi menantikan maklumat untuk diambil tindakan? Adakah dengan mengambil tindakan semata-mata boleh menghentikan insiden ini daripada terus berlaku lagi pada masa hadapan tanpa ada usaha mendidik dengan baik nelayan-nelayan negara ini?
  19. Atau Jabatan Perikanan sudah hilang taring lagi?

Layaran

  1. Tutup bab yu paus dan sturgeon. Kita kembali ke Endau di mana, baru-baru ini dalam kalangan komuniti kaki pancing kecoh selepas sebuah bot nelayan yang dipercayai baru kembali dari lubuk karang laut berdekatan Kuala Rompin, menurunkan ratusan ikan-ikan layaran ke atas jeti. layaran
  2. Nasib ikan layaran, sejenis ikan berparuh sama seperti mersuji (marlin) tidaklah semanis yu paus dan sturgeon kerana layaran tidak disenaraikan sebagai sepsies terancam mahupun spesies mendapat perhatian VVIP.
    layaran
  3. Ikan ini sebenarnya mampu menjana pendapatan sekitar RM3 juta (lihat di sini) bagi penduduk Rompin dengan kehadiran kaki pancing dari luar sebagai aktiviti memancing ikan sukan dan rasanya ia lebih menguntungkan berbanding isi-isi ikan itu dijadikan baja dan keropok. 
  4. Jadi, apa pendirian Jabatan Perikanan dalam hal ini? Membiarkan sahaja layaran-layaran ini dipunggah oleh para nelayan untuk dijadikan baja atau menguatkuasannya dalam satu akta agar ia terus terpelihara dan dijadikan satu produk pelancongan?
  5. Lebih-lebih lagi layaran merupakan 'pelakon utama' dalam Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) setiap tahun di mana Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah ibni Sultan Ahmad Shah merupakan penaungnya dan mampukan kita menebalkan muka jika para perserta mengamuk dan mengatakan ikan itu tiada lagi dan tidak dapat uji kemampuan mereka? layaran
  6. Jadi, adakah Jabatan Perikanan sudah hilang taring dalam hal ini dan mula takut kepada nelayan?

Mola Mola

  1. Ok, sturgeon dah, yu paus dah, layaran dah, apa lagi? Berita yang ingin saya perkatakan ni agak menarik. Tak tau kalau Jabatan Perikanan perasan atau tidak. Harap-harap ada yang menyampaikan maklumat kepada mereka.
  2. Kejadian ini berlaku di Mabul, Sabah, lokasi tumpuan penyelam skuba dari seluruh dunia untuk mencari spesies marin makro selain menjadi lokasi menginap penyelam skuba bagi menyelam ke Pulau Sipadan, juga pulau tumpuan penyelam skuba seluruh dunia. 
  3. Menariknya, pertengahan bulan ini, spesies yang jarang dijumpai di perairan Malaysia, Sunfishmatahari ekor atau Mola Mola dilihat berada di Pulau Mabul, terperangkap di kawasan air cetek. Kejadian itu turut mengejutkan banyak pihak ekoran ikan berkenaan selalunya berada pada kawasan dalam dan air yang sederhana sejuk, di Indonesia dan bukan di Malaysia. molamola
  4. Mola mola juga sering menjadi tumpuan kepada penyelam skuba yang berkunjung ke Pulau Bali ataupun ke Pulau Weh kerana hanya di situlah penyelam skuba sekitar rantau Asia Tenggara ini dapat menyaksikan mola mola. molamola
  5. Pda pendapat saya, kehadiran spesies itu ke Pulau Mabul dilihat mampu melonjakkan industri pendapatan selam skuba negara ini yang menurut Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof (lihat sini), pendapatan yang dijana melalui selam skuba pada 2012 ialah RM500 juta dan ia merupakan peluang yang boleh digunakan agensi pelancongan untuk menawarkan lebih banyak pakej-pakej yang berdaya saing.
  6. Nasib baik spesies ini muncul di sekitar komuniti penyelam skuba yang kemudiannya bertungkus lumus melepaskannya kembali ke laut lepas. molamola
  7. Bayangkan apa yang akan terjadi kepada mola mola itu jika ia terperangkap ke dalam jaring nelayan.
  8. Saya serahkan kepada pembaca untuk menghurai lebih lanjut. Hargailah alam sekitar. Fikir-fikirkanlah...

[Gambar-gambar diambil dari laman FB Kami Bantah Projek Penternakan Ikan Sturgeon di Kuala TahanMad AliOh! MediaScuba JunkieMalaysian Fishing Net]

Artikel ini disiarkan pada 21 October 2014