Dari baju, anak patung, stiker, cokelat, permainan sehinggalah ke maskot negeri ditukar ke nemo, ikan comel berwarna oren belang putih. Bagi penyelam skuba, spesies ini selain anemone clownfish (Amphiprion percula), tomato clownfish, clark's clownfish, panda clownfish, sebae clownfish dan banyak lagi spesies ini boleh didapati di seluruh perairan Malaysia.

Bermain-main dengan mereka yang sering menyorok di dalam habitat mereka, batu karang lembut anemone ketika menyelam akan menghilangkan kebosanan ketika melakukan hentian selamat selama tiga minit.

Dulu Nemo, sekarang kisah Dory pula

Namun kewujudan filem Finding Nemo itu telah menyebabkan spesies-spesies yang disebutkan tadi 'dipunggah' dan dibawa keluar dari habitat mereka di lautan dan ditempatkan di dalam tangki-tangki air masin di dalam premis termasuk kediaman.

Fenomena filem Finding Nemo itu terjadi di seluruh dunia,  bukan hanya di Malaysia. Ke mana-mana sahaja pasti ada anak patung ikan Nemo itu kelihatan terutama di kedai-kedai cenderamata dalam dan luar negara. 

Di Malaysia, fenomena Finding Nemo terpalit sehingga ada sebuah negeri di Pantai Timur Semenanjung sanggup menukar maskot negeri yang sudah beratus tahun kepada Nemo. Agak pelik dan hodoh.

Ini kerana ikan berkenaan yang dikenali sebagai 'ikang kaing bughuk (ikan kain buruk)' dalam kalangan penduduk di Pulau Redang ekoran kelincahannya bermain-main dalam dan luar karang anemone, serba tidak kena bila dijadikan sebagai logo dan juga grafik berbanding maskot lama.

Juga, tak akan skuad bola sepak mereka nak dikenali sebagai Skuad Nemo? Pelik lah.

Namun semuanya senyap seketika selepas perubahan kepimpinan negeri itu. Tapi ia tidak menghalang Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk mencari jalan bagaimana untuk membiak ikan ini agar spesies-spesies liar tidak diambil dari habitat asal mereka.

Mereka berjaya melakukannya dan selepas itu, kita bolehlah lihat spesies-spesies ini berenang-renang di dalam tangki air masin.

Satu merisaukan saya ialah, ikan-ikan laut sama ada yang diternak atau 'dicuri' dari habitat mereka tidak akan hidup lama. Biarlah mereka yang menjadikan ikan-ikan laut  ini sebagai koleksi sudah berpuluh tahun membela tetapi habitat asal dan habitat tiruan tetap tidak sama.

Berani saya katakan spesies ikan laut  hiasan (ikan-ikan kecil) paling lama boleh bertahan di dalam tangki air masin (berdiameter kecil) tidak akan sampai setahun. paling cepat seminggu mereka akan mati.

Ini berikutan spesies ikan laut  bergantung hidup antara satu sama lain dalam kitaran kehidupan mereka di habitat asal. Mereka memerlukan antara satu sama lain. Mereka juga spesies yang hidup bebas dan ada yang bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

Nemo atau clownfish memerlukan batu karang lembut anemone untuk mempertahankan diri dan mencari makanan. Anemone tidak boleh diternak. Spesies itu diambil dari habitat liar dan diletakkan ke dalam tangki. harga pun mahal.

Bila tidak mampu, Nemo dibiarkan bersendirian tanpa anemone. Apa yang akan terjadi? Ikan berkenaan akan mati. Makanannya juga berlainan. di habitat liar, plankton menjadi kesukaan, di dalam tangki?

Itu cerita Nemo, kali ini timbul pula filem Finding Dory, rakan Nemo di dalam filem itu dahulu. Ini merupakan filem sekuel daripada Finding Nemo. Juga diterbitkan oleh Pixar Animation Studios dan diedarkan oleh Walt Disney Pictures

Dory merupakan ikan daripada spesies ikan surgeon, Blue Tang (Paracanthurus hepatus) manakala di dalam filem Finding Nemo, spesies ini dilakonkan seolah-olah seekor ikan yang lurus dan selamba.

Dulu Nemo, sekarang kisah Dory pula

Apa yang menjadi kerunsingan pencita alam semula jadi ialah, filem yang berjaya mencapai Box Office dan mencatat keuntungan kasar AS$185 juta (RM746.3 juta) di seluruh dunia sejak ia ditayangkan pada 8 Jun lalu itu bakal menjadi fenomena di seluruh dunia sehingga menyebabkan ia dicari oleh pemburu spesies ikan laut untuk dijadikan ikan hiasan.

Walaupun ia bukanlah termasuk di dalam kategori ikan terancam, namun kegilaan pemburu ikan laut itu boleh mengakibatkan spesies itu menjadi ancaman di sesebuah negara termasuklah di Malaysia.

Penguatkuasaan yang lemah boleh menyebabkan spesies ikan itu 'dipunggah' dari laut  dan akan menjadi ancaman.

Tawaran harga yang tinggi akan menjadi antara penyebab. Kelak, muncullah tauke-tauke ikan hiasan macam cendawan tumbuh bagi memberi perkhidmatan membekalkan spesies ini sebagai ikan hiasan.

Dan ini akan memberi ancaman yang akan merosakkan alam marin kita.

Dan lebih parah, jangan pula ada negeri yang berhasrat untuk menukar maskot mereka ke Dory!
 


Video ihsan TheEllenShow

*PESAN SAYA: Nak ikut boleh, tapi berpadalah. jangan sampai nampak bodoh