Oleh itu, Awang menasihatkan pemimpin, ahli dan penyokong kedua-dua parti agar berhati-hati kerana usaha untuk menggagalkannya pasti berterusan selagi majlis menandatangani piagam tersebut belum berlangsung.

Setakat ini Awang dapat menyaksikan bagaimana pemimpin dan ahli UMNO serta Pas sudah ada titik persefahaman. Ada yang sampai ke tahap bersedia menyerahkan kawasan bagi memberi laluan antara satu sama lain bertanding dalam pilihan raya.

Alhamdulillah, kesepakatan ini perlu dikekalkan, tetapi berhati-hatilah kerana pihak yang kepanasan tidak akan duduk diam. Mereka juga akan mengatur strategi untuk memastikannya tidak menjadi kenyataan.

Apapun Awang yakin jika semua pemimpin dan ahli kedua-dua parti istiqamah dan teguh mempertahankan hasrat bersatu demi kepentingan orang Melayu dan Islam, datanglah ‘syaitan’ sebesar mana pun, penyatuan ummah tidak akan tergugat.

AWANG – Syukur dan berdoa