Dalam usaha mengurangkan kos hidup, sudah ramai memilih motosikal sebagai alternatif selain pengangkutan awam. Oleh itu saban tahun jumlah penunggang kenderaan semakin meningkat tetapi malangnya kemudahan untuk mereka masih di takuk lama.

Oleh itu bagi Awang sudah sampai masanya Kementerian Kerja Raya mengkaji secara terperinci keperluan untuk meningkatkan taraf laluan motosikal supaya tidak mengundang bahaya kepada pengguna.

Kalau di Kuala Lumpur, kita sering bersungut apabila melihat penunggang motosikal tidak menggunakan laluan disediakan. Tetapi adakah kita tahu apa masalah dan kenapa mereka tidak menggunakannya?

Berdasarkan cerita kawan-kawan Awang yang menunggang motosikal, laluan tersebut tidak selamat untuk  digunakan terutamanya pada waktu malam. Selain gelap dan berlubang, ia juga menjadi sasaran penjenayah untuk mengambil kesempatan.

Justeru Awang berharap kerajaan memastikan laluan motosikal benar-benar selamat dan bukan sekadar ada. Jangan biarkan  pengguna laluan itu menggadaikan nyawa ketika keluar mencari rezeki.

AWANG - Tidak ada motosikal.